KIYV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semalam memberitahu Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEI), Rafael Grossi bahawa pihaknya tidak mungkin dapat mengekalkan keselamatan di loji nuklear Zaporizhzhia kerana masih dikuasai Russia.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika bertemu Grossi di selatan wilayah Zaporizhzhia menjelang lawatan pegawai kanan IAEI itu ke kilang tenaga nuklear.
Loji tenaga nuklear terbesar di Eropah itu dikawal Russia setahun lalu.
Ini adalah lawatan kedua Grossi ke kemudahan itu sejak Moscow menceroboh Ukraine pada Februari 2022.
"Tanpa pengunduran segera tentera dan kakitangan Russia dari loji nuklear Zaporizhzhia dan wilayah bersebelahan, sebarang inisiatif untuk memulihkan keselamatan nuklear dan tahap keselamatan pasti akan gagal," kata Zelensky kepada Grossi dalam satu kenyataan daripada Pejabat Presiden.
Pertemuan mereka berlangsung di kawasan loji kuasa hidroelektrik Dnipro yang rosak akibat serangan Russia.
Zelensky memberitahu Grossi bahawa kakitangan di loji Zaporizhzhia berada dalam tekanan berterusan selain mengadu Russia tidak mematuhi peraturan keselamatan dan didakwa campur tangan dalam operasi premis berkenaan.
Grossi dijangka mengadakan lawatan ke loji nuklear itu pada minggu ini.
"Saya bertemu Zelensky hari ini di bandar Zaporizhzhia dan saling bertukar-tukar pandangan mengenai perlindungan Zaporizhzhia NPP (loji kuasa nuklear) dan kakitangannya.
"Saya mengulangi sokongan penuh IAEA kepada kemudahan nuklear Ukraine," katanya di Twitter semalam.
Lawatan Zelensky ke Zaporizhzhia dibuat selepas beliau melawat wilayah selatan Kherson minggu lalu serta kedudukan tentera di wilayah timur Donetsk. - AFP