Ahad, 26 March 2023 | 11:28pm
(Gambar fail) Putin berjabat tangan dengan Jinping dalam pertemuan di Moscow, baru-baru ini. - Sputnik/Pool via REUTERS
(Gambar fail) Putin berjabat tangan dengan Jinping dalam pertemuan di Moscow, baru-baru ini. - Sputnik/Pool via REUTERS

Tiada pakatan tentera Russia, China - Putin

MOSCOW: Russia dan China tidak mewujudkan pakatan tentera, kata Presiden Vladimir Putin dalam kenyataan yang disiarkan, hari ini.

Dalam kenyataan yang menyusul beberapa hari selepas Presiden China, Xi Jinping, mengadakan lawatan ke Kremlin, Putin menjelaskan kerjasama antara pasukan tentera kedua-dua negara itu adalah 'telus.'

Putin dan Jinping mempamerkan jalinan persahabatan serta berikrar ke arah hubungan lebih rapat, termasuk dalam aspek ketenteraan, ketika sidang kemuncak pada 20 hingga 21 Mac lalu.

"Kami tidak mewujudkan sebarang pakatan tentera dengan China. Ya, kami bekerjasama dalam bidang interaksi teknikal-tentera. Kami tidak menyembunyikan perkara ini. Segalanya adalah telus, tiada rahsia," katanya melalui siaran televisyen itu.

Putin turut menolak tanggapan bahawa peningkatan hubungan Moscow dengan Beijing dalam bidang seperti kewangan serta tenaga, menunjukkan Russia semakin terlalu bergantung pada China.

"Itu adalah pandangan mereka yang cemburu. Selama berdekad-dekad, ramai yang mahu menjadikan China menentang Soviet Union serta Russia dan sebaliknya.

"Kami memahami dunia ini. Kami benar-benar menghargai hubungan bersama dan tahap yang berjaya dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. - REUTERS

Berita Harian X