MOSCOW: Yang Dipertua Parlimen Russia hari ini mengutarakan cadangkan mengharamkan aktiviti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Vladimir Putin, mendakwa presiden melakukan jenayah perang.
Sekutu Putin, Vyacheslav Volodin, berkata pindaan undang-undang perlu dibuat bagi melarang sebarang aktiviti ICC di Russia serta menghukum pihak yang memberi 'bantuan dan sokongan' kepada ICC.
"Ada keperluan untuk membuat pindaan kepada undang-undang yang melarang sebarang aktiviti ICC di wilayah negara kita," katanya dalam catatan di Telegram.
Katanya, Amerika Syarikat (AS) menggubal undang-undang menghalang rakyatnya dibicarakan ICC dan bahawa Russia perlu meneruskan kesinambungan itu, selain sebarang bantuan atau sokongan kepada ICC di dalam Russia, wajar dihukum di bawah undang-undang.
ICC awal bulan ini, mengeluarkan waran tangkap, mendakwa Putin melakukan jenayah perang dengan menghantar pulang ratusan kanak-kanak dari Ukraine secara haram, selain menjelaskan terdapat alasan munasabah, mempercayai Putin bertanggungjawab bagi jenayah terbabit.
Pegawai Russia memberi amaran, sebarang percubaan untuk menangkap Putin, pemimpin utama Russia sejak 1999, akan menjadi pengisytiharan perang terhadap kuasa nuklear terbesar dunia itu.
ICC menerusi waran pertamanya untuk Ukraine, menggesa penahanan Putin kerana disyaki melakukan pengusiran kanak-kanak dan pemindahan orang yang menyalahi undang-undang, dari wilayah Ukraine ke Persekutuan Russia, sejak 24 Februari 2022.
Kremlin berkata, waran tangkap ICC adalah keputusan keterlaluan partisan, tetapi tidak bermakna terhadap Moscow. Pegawai Rusia menafikan jenayah perang di Ukraine dan mengatakan Barat mengabaikan apa yang dikatakan jenayah perang Ukraine.
Kuasa besar seperti Russia, AS dan China bukan ahli ICC walaupun 123 negara berpihak kepada Statut Rom, termasuk Britain, Perancis, Jerman dan beberapa bekas republik Soviet seperti Tajikistan.
Ukraine bukan ahli ICC, walaupun Kyiv memberikannya bidang kuasa untuk mendakwa jenayah dilakukan di wilayahnya. - REUTERS