PARIS: Perancis akan mengharamkan penggunaan aplikasi perkongsian video milik China, TikTok pada telefon kerja penjawat awam, kata Menteri Perkhidmatan Awam, Stanislas Guerini dalam akaun Twitternya.
"Langkah ini bagi menjamin keselamatan siber pentadbiran dan penjawat awam, jadi kerajaan memutuskan untuk mengharamkan aplikasi rekreasi seperti TikTok pada telefon profesional penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, selama beberapa minggu, beberapa rakan kongsi Eropah dan antarabangsa Perancis mengambil langkah menyekat atau mengharamkan muat turun dan muat turun aplikasi TikTok oleh pentadbiran mereka.
Guerini berkata, aplikasi rekreasi tidak mempunyai tahap keselamatan siber dan perlindungan data yang mencukupi untuk digunakan pada peralatan pentadbiran, sambil menambah larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan perkhidmatan kerajaan akan memantau pematuhan.
Beliau berkata, secara luar biasa, pengecualian boleh diberikan atas sebab profesional seperti komunikasi institusi pentadbiran.
Rentetan kerajaan dan institusi Barat mengharamkan TikTok dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk Parlimen United Kingdom (UK), pentadbiran Belanda dan Belgium serta parlimen New Zealand.
Akhir bulan lalu, dua institusi pembuat dasar terbesar Kesatuan Eropah, iaitu Suruhanjaya dan Majlis Eropah mengharamkan TikTok daripada telefon kakitangan atas faktor keselamatan siber.
Kebimbangan meningkat di seluruh dunia tentang potensi kerajaan China untuk mengakses lokasi pengguna dan data hubungan melalui ByteDance, syarikat induk TikTok China. - REUTERS