PARIS: Pakar glasier terkemuka, Claude Lorius, yang penemuan Antartika beliau pada 1980-an membantu membuktikan peranan manusia dalam pemanasan global, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Lorius meninggal dunia pada pagi Selasa di wilayah Perancis Burgundy, menurut Jerome Chappellaz, ahli paleoklimatologi dan bekas rakan sekerja yang kekal rapat dengan keluarga itu.
Penerbit Perancis, Arthaud, yang menghasilkan memoir pakar glasier itu, turut mengumumkan kematiannya dalam satu kenyataan.
"Seorang saintis hebat, Claude juga adalah pengembara ekspedisi kutub yang berwibawa," kata penjelajah Perancis terkenal, Jean-Louis Etienne, dalam video yang disiarkan di Twitter.
Penjelajah kutub yang berdedikasi itu mengetuai 22 ekspedisi ke Greenland dan Antartika, tempat dia tinggal selama enam tahun, bermula dari misi pertamanya pada 1957.
Pada 1970-an, Lorius mula mengesyaki pembabitan manusia dalam pemanasan global.
Namun, hanya pada ekspedisi 1984 di pangkalan Antartika Russia yang paling terpencil, Vostok, Lorius dapat mengkaji teras ais yang digerudi jauh ke dalam landskap kutub beku dan mengesahkan teorinya.
Dia menjadi terkenal pada peringkat antarabangsa untuk penyelidikan yang diterbitkan pada tahun 1987, menunjukkan gelembung udara terperangkap dalam ais membolehkan saintis melihat kembali rekod glasier yang bernilai sejak lebih 160,000 tahun.
Penyelidikan itu menunjukkan, walaupun karbon dioksida berubah sedikit dari semasa ke semasa, kepekatan gas rumah hijau melonjak apabila suhu meningkat sejak pertengahan abad ke-19, ketika permulaan Revolusi Perindustrian.
Agensi penyelidikan Perancis, CNRS, berkata 'tiada lagi keraguan' bahawa pemanasan itu disebabkan oleh pencemaran daripada kegiatan manusia.
Sejak itu, Lorius mengabdikan dirinya untuk menggerakkan perjuangan menentang pemanasan global.
Beliau adalah pakar sulung Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) selepas kumpulan pakar PBB diwujudkan pada 1988.
Pada 2002, beliau dianugerahkan pingat emas CNRS bersama rakan sekerjanya, Jean Jouzel.
Seorang tokoh global, Lorius adalah orang Perancis pertama yang menerima Hadiah Blue Planet yang berprestij, selain dianugerahkan Pingat Bower untuk pencapaian saintifik pada 2017 oleh Institut Franklin.
Lorius kembali ke Antartika pada usia 80-an untuk penggambaran dokumentari 'Ice and the Sky' arahan Luc Jacquet, filem mempamerkan kerjaya luar biasa penjelajah itu, yang ditayangkan pada majlis penutup Festival Filem Cannes 2015. - AFP