Jumaat, 17 March 2023 | 10:23pm
Pengarah Program Kecemasan WHO, Michael Ryan
Pengarah Program Kecemasan WHO, Michael Ryan

'Pandemik COVID-19 akan berakhir dan dianggap sebagai selesema' - WHO

GENEVA: Pandemik COVID-19 boleh mereda pada tahun ini dan hanya akan menular seperti selesema, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

WHO yakin akan menamatkan darurat pada tahun ini serta berharap fasa pandemik bagi virus itu akan berakhir.

Hujung minggu lalu menandakan sudah tiga tahun WHO mengisytiharkan virus berkenaan sebagai pandemik walaupun ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan negara lain sepatutnya sudah mengambil tindakan membendung penularannya beberapa minggu sebelum itu.

"Saya berpendapat, kita nanti akan sampai satu tahap di mana melihat COVID-19 ini sebagai satu influenza yang bermusim," kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan dalam sidang medianya.

"Virus itu akan terus membunuh dan akan memberi ancaman kepada sektor kesihatan.

"Namun, saya percaya pada masa akan datang virus ini tidak lagi mengganggu masyarakat kita atau ganggu sistem hospital seperti yang disuarakan oleh Tedros sebelum ini," katanya.

Tedros sebelum ini memaklumkan, dunia kini berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding ketika wabak itu menular.

"Saya yakin pada tahun ini wabak COVID-19 akan berakhir sebagai kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa (PHEIC)," katanya - AFP

Berita Harian X