LONDON: Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC) Britain sedang mengkaji sama ada aplikasi video milik China, TikTok harus diharamkan daripada telefon kerajaan, menurut Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat.
Ini berikutan, tumpuan terhadap TikTok semakin meningkat hingga menimbulkan kebimbangan bahawa data pengguna boleh jatuh ke tangan kerajaan China, sekali gus menjejaskan kepentingan keselamatan Barat.
"Itulah sebabnya saya meminta NCSC meneliti perkara ini. Saya masih belum mendapat jawapan dan tidak dapat memberi kata putus.
"Memahami dengan tepat apa cabaran yang ditimbulkan oleh aplikasi ini, apa yang mereka minta dan bagaimana ia mengganggu kehidupan kita adalah sangat penting," kata Tugendhat kepada Sky News apabila ditanya sama ada beliau ingin melihat TikTok diharamkan daripada telefon kerajaan Britain.
Amerika Syarikat (AS), Kanada, Belgium dan Suruhanjaya Eropah adalah antara yang melarang aplikasi itu, yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance Ltd, daripada peranti kerajaan.
Dalam temu bual berasingan dengan Times Radio, Tugendhat berkata, ia perlu memastikan bahawa telefon bukan perisian pengintip, tetapi alat yang berguna untuk mereka.
Bagaimanapun TikTok enggan mengulas lanjut tetapi sebelum ini mengatakan larangan berkenaan adalah tidak wajar.
Minggu lalu, Rumah Putih menyokong undang-undang untuk memberi pentadbiran kuasa baharu untuk mengharamkan TikTok dan teknologi berasaskan perkhidmatan asing lain jika ia menimbulkan ancaman keselamatan negara.
Britain menyifatkan China sebagai mewakili 'cabaran zaman baharu' kepada dunia dalam kemas kini kepada pelan tindakannya untuk keselamatan serta dasar antarabangsa.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, berkata pihaknya akan melihat apa yang boleh dilakukan sekutunya.
"Kami mahu melindungi integriti dan keselamatan maklumat sensitif. Justeru, akan mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk memastikan perkara itu berlaku," katanya. - REUTERS