BERLIN: Pengarah terkenal, Steven Spielberg menerima anugerah pencapaian seumur hidup 'Golden Bear' pada Festival Filem Antarabangsa Berlin, semalam, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Anugerah itu disampaikan penyanyi kumpulan rock Ireland U2, Bono yang menyifatkan Spielberg sebagai 'antara aset terbesar Hollywood.'
"Malam ini (malam tadi), penganugerahan 'Golden Bear' kepada Steven Spielberg adalah pilihan tepat.
"Pencapaian sepanjang hayat beliau bukan hanya mengenai kerjaya tetapi juga membabitkan kehidupan dan keluarganya yang sebenar," kata Bono pada majlis anugerah itu.
'Golden Bear' juga pernah dianugerahkan kepada Dustin Hoffman, Kirk Douglas dan Meryl Streep.
Spielberg, 75, terkenal dengan filem Hollywood dihasilkannya seperti ET, Indiana Jones, Jurassic Park dan Jaws.
Filem terbaharu beliau, 'The Fabelmans' adalah berdasarkan kisah sebenar zaman kanak-kanaknya dengan berlatarbelakangkan Amerika selepas perang.
Filem yang dibintangi Paul Dano dan Michelle Williams itu menerima pujian meluas, meraih penghargaan tertinggi dan memenangi Anugerah Golden Globes serta Critics Choice Award 2023.
Ia juga menerima tujuh pencalonan Anugerah Akademi, termasuk filem terbaik pada Oscar. – BERNAMA