Khamis, 16 Februari 2023 | 6:03pm
Russia melancarkan gelombang serangan secara berterusan sejak Oktober lalu yang melumpuhkan infrastruktur tenaga Ukraine dan menyebabkan jutaan penduduk negara itu berada dalam kesejukan. - REUTERS
Russia melancarkan gelombang serangan secara berterusan sejak Oktober lalu yang melumpuhkan infrastruktur tenaga Ukraine dan menyebabkan jutaan penduduk negara itu berada dalam kesejukan. - REUTERS

Russia tembak puluhan peluru berpandu ke Ukraine - Kyiv

KYIV: Russia dilaporkan melancarkan gelombang serangan baharu membabitkan puluhan peluru berpandu dan dron sepanjang malam.

Ukraine yang mengesahkan serangan terbaharu itu berkata, ia sekali gus menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terkorban membabitkan wanita warga emas berusia 79 tahun di wilayah Dnipropetrovsk, manakala banyak bangunan dilaporkan rosak.

Menurut tentera Ukraine, pihak berkuasa itu berjaya menembak jatuh 16 daripada 36 peluru berpandu yang dilancarkan Russia, dari pesawat dan kapal di Laut Hitam.

Ketua kakitangan presiden Ukraine, Andriy Yermak, pula berkata, serangan dilancarkan di utara dan barat negara itu.

"Malangnya, serangan juga dilakukan di (wilayah tengah) Dnipropetrovsk dan Kirovograd," katanya.

Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Sergiy Lysak, menyiarkan imej anggota bomba yang sedang melakukan operasi menyelamat di sebalik serpihan di kediaman yang musnah, melalui Telegram.

Sementara itu, Gabenor Lviv, Maksym Kozytsky, berkata serangan turut menyasarkan kemudahan infrastruktur kritikal di wilayah barat itu.

"Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya di Telegram.

Russia melancarkan gelombang serangan secara berterusan sejak Oktober lalu yang melumpuhkan infrastruktur tenaga Ukraine dan menyebabkan jutaan penduduk negara itu berada dalam kesejukan.

Malah lebih membimbangkan, Moscow mungkin sedang mempersiapkan serangan berskala besar baharu, beberapa bulan lagi selepas tenteranya dilihat mundur sebelum ini. - AFP

Berita Harian X