Isnin, 13 Februari 2023 | 1:59pm
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AP

Terlalu awal untuk isytihar kemenangan selepas pulih sistem kuasa - Zelensky

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam memuji usaha memulihkan sistem penjana kuasa yang rosak akibat serangan Russia, namun memberi amaran masih terlalu awal untuk mengisytiharkan sebarang kemenangan.

Katanya, pekerja loji jana kuasanya sudah melaksana tugas dengan baik untuk membaiki kerosakan disebabkan serangan peluru berpandu dan dron Russia pada Jumaat lalu.

"Hakikatnya, selepas serangan peluru berpandu besar-besaran minggu ini, kini kita boleh menikmati tenaga dengan tenang, sekali gus membuktikan profesionalisme pekerja kita.

"Kita harus sedar, ini bukan kemenangan dalam bidang tenaga, malangnya mungkin terdapat serangan pengganas baru dari Russia.

"Mungkin terdapat sekatan baharu jika ada kemusnahan atau penambahan penggunaan seterusnya," katanya dalam satu ucapan menerusi video.

Zelensky menjangkakan, gangguan tenaga berjadual sekali lagi akan berlaku apabila minggu bekerja bermula hari ini.

Russia melakukan serangan berulang kali ke atas kemudahan tenaga Ukraine sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ada kalanya mengakibatkan jutaan orang tidak dapat mengakses bekalan elektrik, pemanas atau air ketika musim sejuk.

Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko, berkata defisit kuasa selepas serangan sudah dikurangkan dengan ketara hasil program pembaikan ultra pantas yang memastikan kesemua sembilan unit kuasa nuklear di wilayah dikawal Ukraine berfungsi dan disambungkan ke grid.

"Ini adalah tindak balas terbaik pekerja tenaga Ukraine terhadap serangan musuh," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, agensi berita TASS melaporkan pakar dari Kementerian Pertahanan Russia sedang membina sistem saluran paip air yang akan menghubungkan wilayah Rostov bersempadan Ukraine dengan wilayah Donbas di Ukraine.

Moscow tahun lalu mendakwa wilayah Donetsk dan Luhansk, yang membentuk wilayah Donbas di Ukraine sebagai republiknya, namun dikecam oleh kebanyakan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

TASS yang memetik Kementerian Pertahanan Russia, turut melaporkan projek dijadual disiapkan dalam beberapa bulan akan datang itu, mempunyai kapasiti membawa 300,000 meter padu air setiap hari, merangkumi dua laluan sepanjang 200 kilometer (km).

"Lebih 2,600 pakar dari Kementerian Pertahanan Russia dan lebih 1,000 unit peralatan terbabit sepanjang masa dalam kerja pembinaan," lapornya.

Struktur itu akan melalui wilayah Rostov di Russia memasuki Donetsk ke Terusan Severskiy Donets-Donbas, yang memanjang dari Sungai Donets berhampiran kampung Raihorodok ke bandar Donetsk.

Sumber air di wilayah Donbas kini kritikal dan rantau itu bergantung kepada saluran paip berskala besar yang rosak akibat pertempuran hampir setahun sementara bekalan elektrik juga sering terputus. - REUTERS

Berita Harian X