Jumaat, 10 Februari 2023 | 6:10pm
Pihak berkuasa Ukraine meminta orang awam untuk berlindung susulan serangan terbaharu daripada Russia. - AP
Pihak berkuasa Ukraine meminta orang awam untuk berlindung susulan serangan terbaharu daripada Russia. - AP

Ukraine lapor serangan besar-besaran Russia

KYIV: Russia dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron secara besar-besaran ke atas Ukraine, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ukraine di mana serangan itu dibuat sehari selepas Presiden, Volodymyr Zelensky, melawat beberapa negara Eropah untuk memperoleh senjata jarak jauh.

Menurut maklumat tentera udara Ukraine, pihak musuh mula menyerang pagi tadi di kawasan bandar dan di kemudahan infrastruktur kritikal.

"Sebanyak tujuh dron 'kamikaze' buatan Iran dilepaskan dari Laut Azov dan enam peluru berpandu luncur Kalibr dari Laut Hitam," katanya.

Tentera darat turut memaklumkan mereka berjaya menembak jatuh masing-masing lima dron dan peluru berpandu Kalibr.

Sementara itu, Gabenor Oleg Sinegubov, berkata Russia juga melancarkan serangan besar-besaran membabitkan sehingga 35 peluru berpandu anti-pesawat yang menyasar wilayah Kharkiv di timur dan wilayah selatan Zaporizhzhia.

Beliau berkata, kemudahan kritikal dan infrastruktur turut disasarkan di Kharkiv, sekali gus menyebabkan kebakaran.

"Namun tiada yang dilaporkan cedera, hanya beberapa bahagian di bandar tidak mempunyai bekalan elektrik," katanya.

Wakil pemimpin tempatan, Anatoly Kurtev, berkata infrastruktur tenaga dan perindustrian turut mengalami kerosakan di Zaporizhzhia, menyebabkan bahagian bandar itu terputus bekalan elektrik.

Kurtev berkata, sebanyak 17 serangan direkodkan dalam tempoh sejam, di mana ia didakwa adalah jumlah terbesar sejak Russia menyerang hampir setahun lalu.

Sementara itu, pengendali bekalan tenaga Ukraine, Ukrenergo, memaklumkan beberapa kemudahan voltan tinggi terjejas di wilayah timur, barat dan selatan Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

"Russia juga menyasarkan loji kuasa dan kemudahan sistem penghantaran dan kita sudah melaksanakan tindakan kecemasan memotong bekalan elektrik," katanya - AFP

Berita Harian X