Sabtu, 21 Januari 2023 | 8:05am
Chris Hipkins dijangka bakal menjadi Perdana Menteri baharu New Zealand - Foto AP
Chris Hipkins dijangka bakal menjadi Perdana Menteri baharu New Zealand - Foto AP

Chris Hipkins sedia ganti Ardern sebagai Perdana Menteri New Zealand

WELLINGTON: Chris Hipkins bersedia untuk menggantikan Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri New Zealand yang baharu selepas muncul sebagai satu-satunya calon yang dicalonkan untuk mengetuai Parti Buruh, kata parti itu pada hari ini.

Hipkins dijangka disahkan sebagai pemimpin baharu pada mesyuarat 64 Ahli Parlimen Buruh atau Kaukus esok.

Ardern, tokoh global untuk politik progresif mengejutkan New Zealand apabila mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut, kurang tiga tahun selepas memperoleh kemenangan besar untuk penggal kedua dalam pilihan raya.

Arden, 42, yang mengetuai negara itu melalui bencana alam, wabak COVID-19 dan serangan pengganas yang paling teruk berkata, beliau tidak lagi mempunyai 'tenaga yang mencukupi'.

Beliau meletakkan jawatan tanpa menamakan pengganti yang jelas dan Parti Buruh yang memerintah kini berusaha untuk mencari pengganti.

Jacinda Ardern.
Jacinda Ardern.

Pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen untuk Parti Buruh pada 2008, Hipkins, 44, menjadi terkenal selepas dilantik sebagai Menteri Respons COVID-19 pada November 2020.

Beliau kini adalah menteri untuk polis, pendidikan dan perkhidmatan awam serta ketua Dewan.

Tinjauan ringkas Horizon Research yang diperoleh oleh organisasi media tempatan, Stuff pada Jumaat lalu menunjukkan bahawa Hipkins adalah calon berpotensi paling popular dalam kalangan pengundi dengan sokongan 26 peratus daripada mereka yang ditinjau.

Pengesahan Hipkins oleh Ahli Parlimen Buruh pada mesyuarat pada petang Ahad ini dijangka menjadi formaliti.

Ardern kemudiannya akan mengemukakan peletakan jawatannya kepada Gabenor, sebelum Hipkins dilantik.

Jika disahkan, Hipkins akan menjadi perdana menteri sehingga penggal parti itu tamat. - REUTERS

Berita Harian X