Khamis, 19 Januari 2023 | 9:07am
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP

Perdana Menteri New Zealand letak jawatan bulan depan

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, berkata beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatan dan merancang meletak jawatan sebelum akhir Februari, dalam kenyataan menerusi televisyen hari ini.

Tambah beliau, penggal jawatannya selaku selaku Perdana Menteri akan berakhir sebelum 7 Februari ini tetapi akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen sehingga pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada 14 Oktober tahun ini.

Pada mesyuarat tahunan Parti Buruh New Zealand pimpinannya hari ini, Ardern berkata beliau 'tidak lagi bertenaga untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan' dan 'sudah tiba masanya'.

"Saya pergi kerana jawatan istimewa ini datang dengan tanggungjawab tinggi dan kesedaran bahawa anda adalah calon terbaik bagi memimpin.

"Saya tahu apa yang diperlukan untuk jawatan ini dan saya sedar diri bahawa saya tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk meneruskan tugas dengan sempurna, itu saja.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP

"Pada musim panas ini, saya berharap dapat mencari jalan untuk terus berkhidmat bukan saja untuk setahun, sebaliknya bagi satu penggal lagi sebab itu yang perlu saya lakukan.

"Namun, saya tidak dapat melakukannya," katanya dalam nada penuh emosi ketika membuat kenyataan peletakan jawatannya.

Ardern, 43, atau nama penuhnya Jacinda Kate Laurell Ardern, lahir pada 26 Julai 1980 di Hamilton, New Zealand adalah lepasa Universiti Waikato, pertama kali dipilih menjadi ahli Parlimen pada pilihan raya umum 2008 pada 8 Mac 2017 bagi kawasan Mount Albert.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai penyelidik di pejabat Perdana Menteri Helen Clark, sebelum bekerja di United Kingdom sebagai penasihat dasar kepada Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair.

Pada 2008, beliau dipilih menjadi Presiden Kesatuan Antarabangsa Pemuda Sosialis dan dipilih secara sebulat suara sebagai Timbalan Ketua Parti Buruh pada 1 Mac 2017 berikutan peletakan jawatan Annette King.

Ardern menjadi ketua Parti Buruh pada 1 Ogos 2017 apabila Andrew Little meletak jawatan berikutan keputusan undian yang rendah dalam sejarah parti.

Pada 19 Januari 2018, Ardern bersama pasangannya, pasangannya, Clarke Gayford, mengumumkan bahawa beliau mengandung dengan anak perempuan pertamanya dan bersalin pada bulan Jun tahun yang sama.

Ardern menjadi ketua negara wanita yang termuda apabila dilantik perdana menteri pada 2017 ketika berusia 37 tahun dan memimpin New Zealand mengharungi pandemik COVID-19 selain beberapa tragedi termasuk serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch serta letusan gunung berapi White Island.

"Ini adalah tempoh lima setengah tahun yang amat memuaskan hati dengan cabarannya tersendiri, antaranya kemiskinan kanak-kanak, perubahan iklim, keganasan dalam negara, bencana alam, pandemik global serta krisis ekonomi," kata Ardern.

Beliau juga percaya Parti Buruh New Zealand akan memenangi PRU akan datang dan menambah bahawa pemilihan pemimpin parti seterusnya akan diadakan Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Grant Robertson, yang juga Menteri Kewangan, dalam satu kenyataan, berkata beliau tidak akan bertanding untuk jawatan tertinggi Parti Buruh itu.

Parti Buruh kini mempunyai tujuh hari bagi menentukan sama ada terdapat calon pemimpin baharu yang mendapat sokongan lebih dua pertiga pucuk pimpinan tertinggi parti bagi menjadi ketua dan perdana menteri.

Undian akan diadakan dalam tempoh tiga hari iaitu pada 22 Januari ini dan sekiranya tiada yang berjaya meraih sokongan ditetapkan, jawatan utama parti akan ditentukan menerusi undian oleh keseluruhan anggota Parti Buruh. - AGENSI

Berita Harian X