Rabu, 18 Januari 2023 | 10:24am
Moderna Inc memaklumkan vaksin mRNA di tahap percubaan untuk RSV kini di peringkat akhir penyelidikan dengan kadar keberkesanan 83.7 peratus. - Foto AGENSI
Moderna Inc memaklumkan vaksin mRNA di tahap percubaan untuk RSV kini di peringkat akhir penyelidikan dengan kadar keberkesanan 83.7 peratus. - Foto AGENSI

Moderna dakwa vaksin berkesan 84 peratus

PARIS: Moderna Inc, memaklumkan vaksin mRNA di tahap percubaan untuk virus sinsitium pernafasan (RSV) kini di peringkat akhir penyelidikan dengan kadar keberkesanan 83.7 peratus.

Vaksin itu dihasilkan bagi mencegah sekurang-kurangnya dua gejala seperti batuk dan demam bagi individu berusia 60 tahun ke atas.

Presiden Moderna, Stephen Hoge, berkata pihaknya berhasrat menyerahkan vaksin mRNA-1345 untuk pertimbangan kelulusan kawal selia secara global pada separuh pertama 2023, selain memaklumkan vaksin itu dilihat setanding keluaran percubaan Pfizer dan GSK.

"Sangat mengujakan untuk melihat kemajuan dalam vaksin RSV bagi warga emas dan saya fikir kedua-dua vaksin ini sudah menunjukkan hasil agak luar biasa," katanya.

Kajian Moderna dijalankan ke atas kira-kira 37,000 individu berusia 60 tahun ke atas dengan analisis data dilakukan selepas 64 responden dijangkiti RSV.

RSV menghasilkan gejala hampir sama seperti demam selsema, tetapi boleh membawa maut kepada kanak-kanak dan warga emas, menyebabkan kira-kira 14,000 kes kematian membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas setiap tahun.

Penularan RSV, selsema dan COVID-19 mencatatkan lonjakan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada musim luruh, selain tiada vaksin untuk virus itu bagi golongan dewasa ketika ini.

Moderna, Pfizer Inc dan GSK Plc berlumba untuk melancarkan vaksin RSV mereka di pasaran dengan Pfizer serta GSK memfailkan permohonan bagi kelulusan kawal selia AS hujung tahun lalu.

Vaksin RSV dihasilkan Pfizer didapati 66.7 peratus berkesan terhadap dua atau lebih gejala dalam ujian peringkat akhirnya. - REUTERS

Berita Harian X