Selasa, 17 Januari 2023 | 12:56pm
Anggota pasukan keselamatan melakukan pencarian mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan akibat serangan roket Russia di ibu negara Ukraine, Dnipro semalam. - Foto REUTERS
Anggota pasukan keselamatan melakukan pencarian mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan akibat serangan roket Russia di ibu negara Ukraine, Dnipro semalam. - Foto REUTERS

Konflik Russia-Ukraine: Angka korban serangan roket di Dnipro meningkat

DNIPRO: Angka korban akibat serangan roket yang meranapkan satu blok pangsapuri di ibu negara Ukraine, Dnipro meningkat kepada 40 orang ketika misi mencari dan menyelamat (SAR) 25 lagi mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengecam serangan roket Russia itu, selain menyifatkannya sebagai jenayah perang.

"Tiada keraguan, setiap orang bersalah dalam jenayah perang ini akan dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika berucap tengah malam tadi.

Kyiv sebelum ini meminta lebih banyak senjata bagi mempertahankan diri.

Rentetan itu, Britain pada hujung minggu lalu berikrar untuk memberi kereta kebal, tetapi Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran lebih banyak persenjataan hanya akan meningkatkan pertempuran dan Kremlin berikrar untuk membakar peralatan itu.

Ketika ketegangan memuncak, Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Wendy Sherman kelmarin melawat Kyiv dan menjelaskan 'komitmen' Washington kepada Ukraine, selain membincangkan kaedah untuk meningkatkan keselamatan negara itu dengan Zelensky.

Sementara itu, amaran serangan udara dikeluarkan di wilayah Kharkiv, Dnipropetrovsk, Sumy, Hijrah dan Kirovohrad di timur Ukraine berdasarkan peta amaran serangan udara dalam talian Kementerian Transformasi Digital Ukraine.

Amaran serangan udara turut dikeluarkan di Wilayah Zaporizhzhia, lapor Sputnik.

Russia mula menyerang infrastruktur Ukraine pada 10 Oktober 2022, dua hari selepas serangan ke atas Jambatan Crimean.

Serangan itu menyasarkan loji kuasa, industri pertahanan, kemudahan tentera dan komunikasi di seluruh Ukraine.

Selepas serangan pada 15 November 2022, Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal berkata, hampir separuh daripada grid kuasa negara itu tidak berfungsi. - AFP

Berita Harian X