KYIV: Pegawai Ukraine mendakwa Russia sedang meningkatkan serangan ke atas Soledar yang terletak di timur negara itu, sekali gus memaksa tentera Kyiv bertahan dengan menangkis gelombang serangan yang diketuai tentera upahan Wagner di sekitar bandar perlombongan garam itu.
Soledar yang berada di wilayah perindustrian Donbas dan terletak beberapa batu dari Bakhmut, mengalami peperangan sengit sejak Russia menyerang Ukraine hampir 11 bulan lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar menerusi Telegram, berkata tenteranya berjaya menangkis percubaan awal untuk menawan bandar itu, tetapi sebilangan besar unit Kumpulan Wagner kembali semula dengan taktik baharu bersama lebih ramai askar dan menggunakan senjata berat.
"Musuh seakan-akan memijak mayat askar mereka sendiri, menggunakan meriam dengan hebat, sistem roket pelancaran berbilang (MLRS) dan mortar," kata Malyar.
Dalam taklimat media Ahad lalu, Kementerian Pertahanan Russia bagaimanapun tidak menyebut mengenai Soledar atau Bakhmut, sehari selepas berdepan kritikan kerana dakwaan palsu mengenai serangan peluru berpandu ke atas berek sementara Ukraine.
Wagner diasaskan oleh Yevgeny Prigozhin, sekutu Presiden Russia Vladimir Putin dan turut dikesan merekrut banduan daripada penjara Russia malah terkenal dengan keganasan tanpa kompromi.
Mereka juga aktif dalam konflik di Afrika dan turut mengambil peranan penting dalam usaha perang Russia di Ukraine.
Prigozhin sejak beberapa bulan mahu menawan Bakhmut dan Soledar dan sudah mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua belah pihak.
Sabtu lalu, dia berkata, kepentingannya menawan wilayah itu adalah disebabkan rangkaian terowong perlombongan gua di bawah tanah, yang boleh memuatkan kumpulan besar, termasuk kereta kebal dan mesin perang lain.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam kenyataan video setiap semalam, berkata Bakhmut dan Soledar bertahan walaupun mengalami kemusnahan meluas.
Beliau turut memetik serangan baharu dan lebih sengit di Soledar dan menyifatkan ia sebagai tiada tembok kini dibiarkan berdiri dan tanah itu ditutup dengan mayat Russia.
"Terima kasih kepada daya tahan askar kami di Soledar, kami sudah memenangi masa tambahan dan kekuatan tambahan untuk Ukraine," kata Zelensky. - Reuters