Ahad, 8 Januari 2023 | 8:46am
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak. - Foto AFP

Sunak sokong tindakan lebih radikal atasi krisis perkhidmatan kesihatan

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak menggesa tindakan 'berani dan radikal' bagi melakukan reformasi ke atas sistem perkhidmatan kesihatan negara itu yang dilanda pelbagai krisis.

Gesaan itu dibuat selepas Sunak mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama perkhidmatan kesihatan susulan beberapa krisis kesihatan akibat mogok kakitangan hospital, isu kenaikan gaji akibat inflasi serta peningkatan jangkitan influenza dan COVID-19.

Downing Street memaklumkan, Perdana Menteri UK itu menggesa pelaksanaan inisiatif yang berani dan radikal, yang membolehkan negara itu menempuhi tempoh pandemik yang sukar sebelum ini.

"Kita perlukan pendekatan berani dan radikal yang sama sekarang. Kita bersama-sama hari ini, boleh memutuskan tindakan yang boleh membawa perbezaan ketara kepada negara dan semua keluarga, bagi tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.

Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) UK kini bergelut dengan melaksanakan rawatan kecemasan selepas kekurangan dana sejak beberapa tahun lalu, khususnya ketika berdepan lonjakan jangkitan flu dan COVID-19 sepanjang musim sejuk ini.

Ketika ini, fasiliti perkhidmatan kesihatan UK berdepan situasi membimbangkan apabila ambulans terpaksa beratur panjang di luar hospital kerana menunggu lama untuk menghantar pesakit ke wad kecemasan, ketika doktor dan jururawat bergelut merawat pesakit akibat kekurangan kakitangan.

Sistem perkhidmatan kesihatan UK berdepan pelbagai krisis akibat mogok kakitangan hospital, isu kenaikan gaji akibat inflasi serta peningkatan jangkitan influenza dan COVID-19. - Foto EPA
Sistem perkhidmatan kesihatan UK berdepan pelbagai krisis akibat mogok kakitangan hospital, isu kenaikan gaji akibat inflasi serta peningkatan jangkitan influenza dan COVID-19. - Foto EPA

Pada masa sama, kakitangan hospital dan ambulans pula melancarkan mogok, dengan tindakan mendapat simpati rakyat. Kumpulan jururawat, yang terbabit dengan tindakan itu buat pertama kali dalam 100 tahun, menuntut peningkatan gaji susulan kenaikan inflasi melebihi 10 peratus.

Susulan dituduh tidak bertindak, Sunak mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Witty dan Ketua Eksekutif NHS England, Amanda Pritchard di Downing Street, menjelang pertemuan dengan pegawai kerajaan dan ketua kesatuan sekerja esok.

Sebelum ini, Sunak dalam ucapannya menggariskan lima isu yang menjadi keutamaannya tahun ini, termasuk memendekkan senarai menunggu NHS.

Sementara itu, Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja, Pat Cullen memaklumkan pada radio BBC bahawa beliau akan hadir dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan UK, Steve Barclay, esok.

Pada masa sama, Cullen menyarankan supaya Sunak turut berunding secara langsung dengan kumpulan jururawat bagi menghalang perancangan mogok pada 18 dan 19 Januari ini. - AFP

Berita Harian X