Khamis, 5 Januari 2023 | 7:32pm
Recep Tayyip Erdogan mempunyai hubungan baik dengan Russia dan Ukraine. - Foto REUTERS
Recep Tayyip Erdogan mempunyai hubungan baik dengan Russia dan Ukraine. - Foto REUTERS

Erdogan minta Putin isytihar gencatan senjata sepihak di Ukraine

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, hari ini mendesak rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin supaya mengisytiharkan gencatan senjata "sepihak" di Ukraine.

Erdogan berkata, tuntutan untuk perdamaian dan rundingan harus disokong dengan gencatan senjata sepihak dan visi untuk penyelesaian yang adil," kata pejabatnya.

Ia memetik Erdogan sebagai berkata kepada Putin mengenai perkara itu melalui panggilan telefon.

Erdogan dijangka mengadakan perbincangan seterusnya secara berasingan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, hari ini.

Pemimpin Turkiye itu menggunakan hubungan baiknya dengan Moscow dan Kyiv untuk mencuba serta menjadi pengantara bagi menamatkan perang antara kedua-dua negara itu.

Turkiye sebelum ini menganjurkan dua rundingan damai dan membantu mencapai perjanjian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memulihkan penghantaran bijirin Ukraine merentasi Laut Hitam.

Erdogan juga berulang kali cuba membawa Putin dan Zelensky ke Turkiye untuk sidang kemuncak damai.

Gesaan Erdogan untuk gencatan senjata "sepihak" itu susulan cadangan awal oleh pemimpin agama Russia, Patriarch Kirill supaya dilakukan gencatan senjata Krismas Ortodoks minggu ini.

Penganut Kristian Ortodoks, termasuk mereka yang tinggal di Russia dan Ukraine, menyambut Krismas pada 6 hingga 7 Januari. - AFP

Berita Harian X