MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, melancarkan kapal perang dilengkapi peluru berpandu hipersonik baharu untuk latihan ketenteraan ke ke Lautan Hindi, Atlantik dan Mediterranean
"Saya pasti senjata yang berkuasa seperti ini akan melindungi Russia daripada ancaman luar selain memastikan kepentingan negara terjaga.
"Kami akan terus membangunkan keupayaan berperang dan angkatan tentera. Sistem peluru berpandu Zircon umpamanya, yang dibawa kapal perang, tiada tolok bandingannya," katanya yang dipetik agensi berita rasmi.
Putin dan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu, menyertai sidang video bagi pelancaran latihan ketenteraan kapal perang hipersonik, Admiral Gorshkov.
Kata Shoigu, tumpuan utama misi adalah untuk mengatasi ancaman terhadap Russia dan menyokong keamanan serta kestabilan serantau bersama negara yang baik kepada Russia.
"Menerusi latihan ini, kita akan bimbing kru bagi melancarkan serangan senjata hipersonik dan peluru berpandu jarak jauh," katanya.
Tambah Shoigu, peluru berpandu Zircon boleh mengatasi 'sebarang pertahanan udara baik yang ada sekarang ataupun pada masa depan' selain menyasarkan serangan lebih tepat baik di laut atau di darat.
Sementara itu di Washington, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price, berkata pihaknya tidak ingin mengulas mengenai tindakan propaganda negara lain.
Selepas perang lebih 10 bulan menceroboh Ukraine, tentera Russia kini menghadapi beberapa halangan di lapangan di Ukraine.
terbaru, pimpinan tertinggi tentera Russia dikecam susulan kehilangan 89 anggota tentera akibat serangan Ukraine pada permulaan Tahun baharu. - AFP