BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menawarkan vaksin COVID-19 percuma kepada China dalam usaha membantu Beijing menangani penularan jangkitan virus itu.
Menurut seorang pegawai EU, inisiatif itu antara usaha Pesuruhjaya Kesihatan, Stella Kyriakides mengatur tindak balas berdepan gelombang jangkitan selepas Beijing menamatkan dasar sifar COVID.
"Kyriakides sudah menghubungi rakan sejawatnya di China bagi memberikan sokongan dan solidariti, termasuk kepakaran dalam kesihatan awam serta sumbangan vaksin," katanya.
Sementara itu, EU akan mengkoordinasi pendekatan pihak berkuasa dalam menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat yang tiba dari China bagi mengesan sebarang varian baharu COVID-19 selepas beberapa negara anggotanya mengumumkan usaha masing-masing sejak minggu lalu.
Belgium memaklumkan, akan memeriksa air kumbahan daripada pesawat yang tiba dari China bagi mencari maklumat mengenai sebarang varian berbahaya.
Katanya, pengembara yang mengalami gejala akan diminta menjalani ujian saringan COVID-19.
Menteri Kesihatan Belgium, Frank Vandenbroucke, berkata banyak perkara perlu dilakukan namun melalui pendekatan yang lebih dikoordinasi dalam kalangan 27 negara anggota.
"Ia akan menjadi satu isyarat kepada China jika negara anggota EU bersama dalam hal ini, jika anda datang ke Eropah anda perlu menjalani ujian saringan terlebih dulu," katanya.
Sweden yang mempengerusikan EU berkata, pegawai dari negara anggota akan mengadakan mesyuarat Tindak Balas Krisis Politik Integrasi bagi membincangkan berhubung peraturan kemasukan pengembara.
"Amat penting untuk kita melaksanakan langkah yang diperlukan dengan segera," kata Menteri Kesihatannya, Jakob Forssmed.
Sebelum ini, Perancis, Sepanyol dan Itali sudah mengumumkan langkah masing-masing untuk melaksanakan saringan lebih ketat terhadap pengembara yang tiba dari China.
Kerajaan Perancis mewajibkan ujian saringan COVID-19 dan meminta rakyatnya supaya tidak mengembara ke China jika tiada keperluan.
Malah, Perancis melaksanakan semula pemakaian pelitup muka dalam penerbangan dari China ke negara itu.
Kerajaan Sepanyol pula mewajibkan semua penumpang dari China melakukan ujian saringan serta mengemukakan bukti sudah divaksinasi.
Itali menjadi negara EU pertama mewajibkan ujian saringan dilakukan ke atas penumpang dari China, namun langkah itu dikatakan bukan pilihan terbaik bagi melindungi rakyatnya selepas terdapat varian baharu didakwa sudah tersebar di Eropah sejak beberapa bulan lalu.
Selain Eropah, Amerika Syarikat (AS) turut mengumumkan keperluan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi semua pengembara dari China, langkah sama yang dilakukan beberapa negara di Asia susulan peningkatan semula jangkitan virus itu. - AP