MOSCOW: Serangan tahun baharu Moscow terhadap Ukraine yang menyasarkan fasiliti penghasilan dron di negara itu, hari ini, menyebabkan tiga maut termasuk seorang wanita, manakala puluhan lagi cedera.
Moscow mendakwa serangan pada malam tahun baharu itu yang menggunakan peluru berpandu dan dron buatan Iran, berjaya mematahkan 'serangan pejuang' Kyiv terhadap Russia.
Menurut pihak berkuasa, Moscow membedil Kyiv dan beberapa bandar Ukraine lain, menyebabkan tiga maut dan 50 cedera.
Sementara itu, menurut Kementerian Pertahanan Russia, serangan disasarkan terhadap fasiliti kompleks perindustrian tentera Ukraine yang terbabit dalam pengeluaran dron.
"Kemudahan tempat penyimpanan dan tapak pelepasan dron itu juga dimusnahkan. Misi serangan itu tercapai.
"Rancangan Kyiv untuk melakukan serangan terhadap Russia dalam masa terdekat digagalkan," kata kenyataan itu.
Timbalan Ketua Pejabat Presiden Volodymyr Zelensky, Kyrylo Tymoshenko, berkata, dua maut di Kyiv dan wilayah selatan Kherson manakala 50 lagi cedera akibat serangan Russia itu.
Menurut Gabenor, Sergiy Gamaliy, antara yang maut ialah seorang wanita berusia 22 yang meninggal dunia di bandar barat Khmelnytskyi.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika pemcerobohan Presiden Russia, Vladimir Putin di Ukraine memasuki bulan ke-11.
Selepas beberapa siri kekalahan tentera yang mencalar maruah, Russia pada Oktober mula menyasarkan infrastruktur Ukraine, mengakibatkan jutaann rakyat negara itu hidup dalam kesejukan dan kegelapan.
Russia juga menuduh Ukraine menyasarkan serangan terhadap tapak dan infrastruktur tenteranya.
Tentera Russia pada Khamis menembak jatuh sebuah dron berhampiran Engels iaitu pangkalan untuk pesawat strategik negara itu yang terletak ratusan kilometer dari sempadan Ukraine.
Russia juga mengesahkan melancarkan dron di atas lapangan terbang Engels sehingga mengorbankan tiga orang.
Pada 5 Disember lalu, Moscow berkata, dron buatan Soviet Ukraine menyerang pangkalan itu dan sebuah lagi di rantau Ryazan, menyebabkan tiga orang terbunuh.
Serbuan dron Engels adalah serangan paling besar yang dilaporkan terhadap wilayah Russia sejak bermulanya serangan Moscow di Ukraine pada 24 Februari lalu. - AFP