Ahad, 1 Januari 2023 | 8:39am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyampaikan ucapan tahunannya kepada penggubal undang-undang semasa sesi Parlimen Ukraine di Kyiv, di tengah-tengah serangan Russia ke atas Ukraine. - Foto REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyampaikan ucapan tahunannya kepada penggubal undang-undang semasa sesi Parlimen Ukraine di Kyiv, di tengah-tengah serangan Russia ke atas Ukraine. - Foto REUTERS

Zelensky laung azam 2023 dengan berjuang dan menang

KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky semalam berkata, satu-satunya hasratnya untuk semua rakyat Ukraine pada 2023 ialah kemenangan, malah berazam untuk kekal di landasan untuk memperjuangkannya.

"Saya ingin mengucapkan satu perkara kepada kita semua - kemenangan. Dan ia adalah perkara utama. Satu harapan untuk semua rakyat Ukraine," kata Zelensky, yang memakai pakaian jenis khaki, dalam mesej video berdurasi beberapa minit sebelum tengah malam tadi.

Beliau turut mengulangi seperti yang sudah dinyatakan sejak Russia memulakan pencerobohan di Ukraine pada Februari lalu, bahawa beliau akan bersama rakyatnya ketika mereka berjuang demi kebebasan.

"Kami disuruh menyerah. Kami memilih serangan balas!

"Kami bersedia untuk memperjuangkannya (kebebasan). Itulah sebabnya masing-masing ada di sini. Saya di sini. Kami di sini. Anda di sini. Semua di sini. Kami semua Ukraine," katanya.

Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohannya ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu dan menyifatkannya sebagai 'operasi khas' bagi 'menafikan' dan menyingkirkan ketenteraan Ukraine, yang didakwanya adalah ancaman kepada Russia.

Kyiv dan sekutu Baratnya bagaimanapun berkata, pencerobohan Putin adalah rampasan tanah imperialis.

Dalam ucapan Tahun Baharu, Putin menyeru agar rakyat Russia menyokong tentera yang bertempur di Ukraine.

Meskipun Moscow merancang operasi pantas untuk mengambil alih negara jirannya itu, perang kini sudah memasuki bulan ke-11, dengan dengan banyak kemunduran dan keputusan memalukan Russia, malah Ukraine juga berjaya mempertahankan sebahagian besar tanahnya.

Tentera Russia sudah berbulan-bulan terbabit dalam pertempuran sengit di timur dan selatan Ukraine, bagi mempertahankan tanah Donbas, yang September lalu didakwa dirampas oleh Moscow.

Hari ini juga, Zelensky berikrar untuk membawa balik apa yang sudah dirampas.

"Biar tahun ini menjadi tahun kepulangan. Kepulangan rakyat kita. Askar kepada keluarga mereka. Banduan perang ke rumah mereka. Penghijrah kembali semula ke Ukraine dan kembali ke tanah kita.

"Kembalinya apa yang sudah dicuri daripada kita. Masa kecil anak-anak kita, masa tua yang aman dan ibu bapa kita," kata Zelensky lagi. - REUTERS

Berita Harian X