Sabtu, 31 Disember 2022 | 10:55am
Seorang penyelamat berehat di rumah kediaman di Kyiv yang rosak akibat serangan peluru berpandu Russia. - Foto REUTERS
Seorang penyelamat berehat di rumah kediaman di Kyiv yang rosak akibat serangan peluru berpandu Russia. - Foto REUTERS

Russia serang Ukraine di sepanjang barisan hadapan dari utara ke selatan

KYIV: Russia membedil beberapa bandar di Ukraine di sepanjang barisan hadapan negara itu dari utara ke selatan, kata pegawai Ukraine semalam, sehari selepas Moscow melepaskan berpuluh-puluh peluru berpandu dalam serangan terbarunya ke atas infrastruktur kritikal.

Menurut pegawai itu, siren serangan udara dibunyikan di ibu kota Kyiv dan Reuters mendengar beberapa letupan dan bunyi tembakan antipesawat di selatan bandar itu ketika tentera Russia melepaskan 16 dron Shahed buatan Iran.

Tentera Ukraine berkata, semua dron berkenaan telah dimusnahkan.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, berkata tujuh daripadanya menyasarkan Kyiv, dengan sebuah bangunan pentadbiran dilaporkan mengalami kerosakan.

Dalam satu kenyataan petang semalam, Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine berkata, tentera Russia telah cuba mara berhampiran Bakhmut dan Avdiivka, titik tumpuan kempen mereka untuk menawan seluruh wilayah Donetsk di bahagian timur.

Tentera Russia bertindak menembak beberapa bandar dan kampung termasuk Bakhmut, Kudryumivka di bahagian selatan, berhampiran Soledar dan bandar Kostyantynivka, di barat Bakhmut.

Selain itu, serangan turut disasarkan ke arah Avdiivka, bandar berhampiran Maryinka serta Nevelske.

"Secara keseluruhan, kami terus bertahan di kedudukan sedia ada.

"Terdapat juga di beberapa kawasan yang mana kami sedang mara ke hadapan," kata Presidennya, Volodymyr Zelensky mengenai pertempuran di timur dalam satu ucapan menerusi klip video semalam.

Sejak Oktober, Russia hampir setiap minggu melancarkan peluru berpandu besar-besaran dan serangan dron terhadap infrastruktur awam di seluruh Ukraine.

Situasi itu menyebabkan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik ketika musim sejuk.

Russia berkata, matlamatnya adalah untuk mengurangkan keupayaan Ukraine bagi meneruskan peperangan.

Bagaimanapun, Kyiv mendakwa serangan itu menyasarkan orang awam dan menggugat keselamatan penduduk. - REUTERS

Berita Harian X