KYIV: Kremlin memberi amaran penambahan bekalan senjata Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine akan memburukkan lagi perang 10 bulan yang dicetuskan oleh pencerobohan Russia.
Malah, Menteri Pertahanan Russia juga menggesa untuk meningkatkan jumlah tentera Moscow sekurang-kurangnya kepada 500,000.
Bercakap semasa pertemuan dengan pemimpin tertinggi tenteran, Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata Moscow akan menggunakan pengajaran yang dipelajari dalam konflik untuk 'membangunkan angkatan tentera dan mengukuhkan keupayaan tenteranya'.
Beliau berkata, penekanan khusus akan diberikan kepada pembangunan kuasa nuklear yang disifatkan sebagai 'jaminan utama kedaulatan Russia'.
"Peluru berpandu balistik antara benua Sarmat yang dibangunkan tentera Russia akan berada dalam perkhidmatan pertahanan tidak lama lagi.
"Sarmat digunakan untuk menggantikan peluru berpandu balistik binaan Soviet yang sudah berusia dan membentuk teras pasukan nuklear Russia serta berupaya mengelak pertahanan peluru berpandu," katanya.
Retorik keyakinan dari Moscow itu datang ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bertemu dengan Presiden AS, Joe Biden di Washington, di mana pegawai AS mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu yang besar untuk Kyiv.
Pakej AS$1.8 bilion itu termasuk buat pertama kalinya bantuan peluru berpandu Patriot dan bom ketepatan untuk jet pejuang, menurut pegawai AS.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu, berkata tentera Russia akan merangkumi 695,000 askar kontrak sukarela dengan 521,000 daripadanya akan direkrut menjelang akhir 2023.
Russia mempunyai kira-kira 400,000 tentera kontrak sebagai sebahagian daripada sejuta anggota tenteranya, sebelum pertempuran di Ukraine bermula.
Semua lelaki Russia berusia 18 hingga 27 tahun diwajibkan berkhidmat dalam tentera selama setahun, tetapi ramai yang menggunakan penangguhan kolej dan pengecualian kesihatan untuk mengelaknya.
Shoigu berkata, draf lingkungan usia akan ditukar kepada 21 hingga 30 tahun dan rekrut akan ditawarkan pilihan untuk berkhidmat selama setahun atau menandatangani kontrak dengan tentera sebagai sukarelawan. - AP