LONDON: Kerajaan Britain sudah memulakan tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula wang daripada firma yang dipertikaikan berhubung bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sewaktu pandemik COVID-19.
Menurut rekod mahkamah, Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial (DHSC) memfailkan tuntutan mahkamah terhadap PPE MedPro di Mahkamah Tinggi London, lapor agensi berita ArabNews.
"Kita boleh mengesahkan bahawa sudah memulakan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi terhadap PPE Medpro Limited kerana melanggar kontrak berhubung PPE yang dihantar di bawah kontrak bertarikh 26 Jun 2020," kata Jabatan Kesihatan dalam satu kenyataan.
PPE MedPro berkata, mereka 'menafikan semua dakwaan mereka yang digambarkan dengan cara yang dilihat berat sebelah' dan tindakan undang-undang itu akan 'menjadi kesukaran' buat kerajaan.
Syarikat itu berada di tengah-tengah pertelingkahan sejak berminggu-minggu dengan pembangkang utama Britain, Parti Buruh memenangi undian awal, bulan ini untuk memaksa kerajaan mengeluarkan dokumen berkaitan 200 juta pound (RM718 juta) kontrak peralatan perlindungan peribadi yang diterima firma itu.
Ahli politik pembangkang menuduh kerajaan menjalankan 'chumocracy' (kroni), dengan memberikan tawaran kepada mereka yang mempunyai hubungan keluarga atau perniagaan kepada orang yang berkuasa, termasuk dakwaan PPE yang tidak boleh digunakan.
Menurut media tempatan, seorang ahli parti Konservatif, Michelle Mone, di Dewan Pertuanan (House of Lords), mengesyorkan MedPro kepada menteri pada permulaan wabak itu.
Kerajaan bagaimanapun berulang kali mempertahankan tindakannya untuk memberikan kontrak segera pada permulaan pandemik COVID-19 pada 2020, dengan menyatakan terdapat perlumbaan global untuk mendapatkan PPE dan Britain harus berdaya saing untuk memastikan keperluan itu dipenuhi.
Tetapi sejak itu, terdapat kritikan terhadap cara kontrak itu diberikan.
Laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam awal tahun ini mengatakan bahawa kerajaan sudah membelanjakan lebih daripada 12 bilion pound untuk peralatan perlindungan pada tahun 2020–2021, dengan empat bilion daripadanya tidak memenuhi piawaian yang diperlukan oleh Perkhidmatan Kesihatan Negara dan ia tidak digunakan. - AGENSI