KYIV: Ibu negara Ukraine menjadi sasaran serangan dron awal pagi tadi, tiga hari selepas serangan terbesar Russia ke atas Kyiv sejak bermulanya perang.
Pentadbiran bandar Kyiv menerusi Telegram, berkata lebih 20 dron buatan Iran dikesan di ruang udara ibu negara dan sekurang-kurangnya 15 ditembak jatuh.
Ia menambah bahawa infrastruktur kritikal turut diserang namun tidak memberikan butiran lanjut.
Gabenor Kyiv, Oleksii Kuleba, menerusi Telegram berkata beberapa kemudahan infrastruktur rosak, termasuk tempat kediaman dan sekurang-kurangnya dua orang cedera.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, berkata bahawa letupan kedengaran di dua daerah, iaitu Shevchenkivskyi dan Solomianskyi.
Beliau turut memaklumkan menerusi Telegram bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan perkhidmatan kecemasan sedang dikerahkan ke kawasan itu.
Walaupun Kyiv dilihat menjadi sasaran utama serangan terbaru Russia, namun pihak tentera berkata bahawa wilayah lain di negara itu turut menjadi sasaran.
Tentera udara Ukraine berkata mereka berjaya memusnahkan 30 daripada sekurang-kurangnya 35 dron yang dilancarkan Russia ke seluruh negara dari sebelah timur Laut Azov.
Tentera Ukraine turut melaporkan kejayaan menembak jatuh peluru berpandu dan dron letupan.
Russia menyasarkan infrastruktur tenaga, termasuk di Kyiv, sebagai sebahagian daripada strategi untuk cuba melumpuhkan Ukraine.
Jumaat lalu, ibu negara Ukraine disasarkan dalam serangan besar-besaran oleh Russia.
Puluhan peluru berpandu dilancarkan di seluruh negara, mencetuskan gangguan bekalan elektrik yang meluas. - AP