BERLIN: Pihak berkuasa Jerman berjaya mendapatkan semula hampir semua barang kemas dalam koleksi seni Dresdan bernilai AS$120 juta (RM530 juta), yang dicuri pada 2019.
Sejumlah 31 barang kemas, termasuk pingat bintang Polish Order of the White Eagle dan hiasan kepala bertatah berlian, berjaya ditemukan oleh pasukan penyiasat di Berlin.
Ia susulan rundingan antara pihak pendakwa raya dan peguam defendan bagi warga Jerman yang dibicarakan atas kesalahan merompak Muzium Gruenes Gewoelbe pada November 2019.
Secara keseluruhan, barang kemas yang dicuri daripada antara koleksi seni teragung Eropah itu merangkumi lebih 4,300 berlian dengan nilai keseluruhan lebih AS$120 juta (RM530 juta).
Pendakwa raya percaya, perompak memecah masuk dengan merosakkan bahagian jeriji tingkap lebih awal untuk masuk ke dalam muzium itu secepat mungkin ketika rompakan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, barang kemas yang dikembalikan itu akan diperiksa oleh pakar untuk mengesahkan ketulenan dan keutuhannya.
Antara barang kemas yang masih hilang termasuklah epolet yang bertatah permata berharga dikenali sebagai Berlian Putih Dresdan. - REUTERS