Sabtu, 17 Disember 2022 | 3:23pm
Seorang wanita ditenangkan anggota Persatuan Palang Merah Antarabangsa, di luar bangunan yang musnah akibat serangan Russia di Kryvyi Rih, Ukraine. - Foto AP
Seorang wanita ditenangkan anggota Persatuan Palang Merah Antarabangsa, di luar bangunan yang musnah akibat serangan Russia di Kryvyi Rih, Ukraine. - Foto AP

Kyiv terputus bekalan elektrik lebih lama susulan serangan Russia

KYIV: Ukraine hari ini berusaha mengembalikan bekalan elektrik untuk hospital, sistem pemanasan dan infrastruktur kritikal lain di bandar utama selepas gelombang serangan terbaru Russia menyasarkan stesen jana kuasa negara itu.

Tembakan peluru berpandu yang dilepaskan semalam menyebabkan beberapa bandar bergelap, pemotongan air dan sumber haba pula memaksa orang ramai menahan kesejukan.

Di ibu negara, Datuk Bandar berkata hanya satu pertiga daripada penduduk mempunyai haba atau air dan orang ramai berpakaian tebal bersesak-sesak ke stesen metro bawah tanah selepas siren serbuan udara berbunyi pada waktu pagi.

"Saya bangun, saya melihat roket di langit. Saya melihatnya dan memahami bahawa saya perlu pergi ke bawah tanah," kata penduduk Kyiv, Lada Korovai, 25.

Pembekal tenaga negara Ukraine, Ukrenergo pula berkata sistemnya sudah kehilangan lebih separuh kapasitinya selepas serangan itu menyasarkan 'rangkaian tulang belakang dan kemudahan penjanaan'.

Ukrenergo memberi amaran tahap kerosakan di utara, selatan dan tengah negara, yang akan mengambil masa lebih lama untuk memulihkan bekalan berbanding selepas serangan sebelumnya.

"Keutamaan akan diberikan kepada infrastruktur kritikal seperti hospital, kemudahan bekalan air, kemudahan bekalan haba, loji rawatan kumbahan," kata Ukrenergo dalam satu kenyataan semalam.

Menjelang petang, bandar kedua Kharkiv sudah memulihkan kuasa kepada hanya 55 peratus penduduk dan merancang untuk grid kuasa beroperasi sepenuhnya menjelang tengah malam.

Selepas beberapa siri kekalahan di medan perang yang memalukan, Russia sejak Oktober meneruskan serangan udara terhadap infrastruktur yang dikatakan oleh Moscow sebagai kemudahan berkaitan tentera.

Bagaimanapun Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) berkata, penderitaan yang dikenakan ke atas orang awam adalah jenayah perang, dengan ketua dasar luar blok itu menggelar pengeboman itu sebagai 'biadab'.

"Serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini bertujuan untuk meningkatkan penderitaan manusia dan menyeksa rakyat Ukraine," kata Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell. - AFP

Berita Harian X