KYIV: Russia mengebom infrastruktur kritikal di seluruh negara Ukraine dengan peluru berpandu hari ini, sekali gus memadamkan kuasa ketika orang ramai sedang berlindung di tempat perlindungan.
Pegawai tempatan berkata, infrastruktur yang dibom adalah di wilayah timur Kharkiv, wilayah Laut Hitam Odesa dan di Vinnytsia di barat tengah Ukraine.
Ia adalah gelombang besar serangan peluru berpandu terbaharu sejak Oktober lalu.
Pegawai wilayah berkata, Kharkiv, pusat bandar Hijrah dan sebahagian Kyiv sudah terputus bekalan elektrik dan wilayah Sumy utara pula mengalami gangguan bekalan elektrik.
Saksi Reuters di ibu negara berkata, letupan kuat juga bergema di Kyiv, dan sistem pertahanan udara sedang beroperasi di seluruh Ukraine.
Pengendali kereta api Ukraine pula berkata, beberapa laluan kereta api terputus bekalan elektrik.
Timbalan ketua pejabat presiden, Kyrylo Tymoshenko, berkata sebuah bangunan kediaman juga dihentam di pusat bandar Kryvyi Rih, dengan ramai terperangkap di bawah runtuhan.
Gabenor wilayah Kyiv, Oleksiy Kuleba pula berkata, Russia 'menyerang secara besar-besaran' Ukraine'.
Setakat ini, tiada maklumat segera mengenai mangsa terkorban dan tidak jelas apa infrastruktur kritikal yang terjejas.
"Jangan abaikan amaran serbuan udara, kekal di tempat perlindungan," kata Kyrylo Tymoshenko di aplikasi Telegram.
Russia yang menyerang Ukraine pada Februari, sudah menyerang infrastruktur tenaga Ukraine sejak Oktober lalu mengakibatkan, gangguan bekalan elektrik berulang kali di seluruh negara pada permulaan musim sejuk.
Moscow berkata, serangan ke atas infrastruktur asas adalah sah dari segi ketenteraan tetapi Ukraine menyatakan, serangan itu bertujuan untuk menyebabkan kesengsaraan orang awam adalah jenayah perang. - REUTERS