MOSCOW: Russia akan menggandakan ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) daripada empat tahun ini kepada lapan pada 2023, kata komander pasukan roket strategik, Sergei Karakayev seperti dipetik akhbar tentera, Krasnaya Zvezda.
Katanya, peluru berpandu itu dijadualkan dilancarkan daripada dua tapak pelancaran, iaitu di Murmansk dan Volgograd.
Dalam kenyataan seperti dilaporkan agensi berita Tass, Karakayev berkata empat ICBM sudah dilancarkan tahun ini dan beliau turut mengesahkan kebolehpercayaan sistem peluru berpandu yang tinggi.
"Di bawah perjanjian pengurangan senjata nuklear START Baharu, yang berkuat kuasa pada 2011, Russia dan Amerika Syarikat dihadkan kepada 700 ICBM bagi setiap negara," katanya.
Karakayev yang menyebut secara khusus mengenai peluru berpandu Sarmat yang berkeupayaan nuklear, berkata ia menjalani pelancaran pertamanya pada April dari Plesetsk di utara Russia, mengenai sasaran sejauh 6,000 kilometer di Semenanjung Kamchatka.
Sarmat sudah dibangunkan sejak bertahun-tahun, tetapi ujian pada April lalu dilakukan ketika ketegangan antarabangsa yang melampau, beberapa minggu selepas pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, kini yang memasuki bulan ke-10.
Presiden Russia, Vladimir Putin dilaporkan berkata, pada masa itu tiada peluru berpandu yang setanding dan negaranya akan 'menguatkan potensi tempur angkatan tenteranya'.
Dalam ucapannya kepada Krasnaya Zvezda, Karakayev berkata Sarmat akan membentuk asas bagi persenjataan peluru berpandu berasaskan 'silo' (binaan bawah tanah yang menyimpan peluru berpandu).
"Dalam keadaan semasa, penciptaan sistem peluru berpandu sedemikian untuk Russia bermakna pengukuhan keselamatan strategiknya," katanya. - REUTERS