WELLINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky hari ini mendakwa, ancaman alam sekitar berpunca peperangan oleh Russia akan menjejaskan hidup jutaan manusia untuk beberapa tahun.
Justeru, beliau menyarankan agar New Zealand mengambil alih kepimpinan dalam diplomasi untuk menangani sebarang ancaman kemusnahan.
Bercakap kepada Parlimen New Zealand apabila menjadi pemimpin asing kedua berbuat demikian, beliau menerusi pautan video dari Ukraine mendakwa, serangan Russia mencemarkan lautan negaranya dan hutan seluas tiga juta hektar.
"Puluhan sungai tercemar, ratusan lombong arang banjir ditenggelami air, puluhan perusahaan paling berbahaya, termasuk termasuk kima musnah akibat serangan Russia.
"Semua ini... akan memberi kesan langsung kepada berjuta-juta orang," katanya yang merujuk kebocoran bahan kimia berbahaya dan pencemaran dari lombong dan peluru.
Apabila ancaman berlaku, Zelensky menegaskan ia menyukarkan usaha untuk membina semula alam sekitar yang musnah termasuk 'menghidupkan' kembali nyawa terkorban.
Beliau menggesa New Zealand selaku penyokong tegar Kyiv untuk mengetuai usaha di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kawasan lain bagi memulihkan keselamatan alam sekitar di Ukraine dan membersihkan lombong.
Kini masuk bulan ke-10 perang berlangsung yang disebut Russia sebagai 'operasi khas' untuk memusnahkan Ukraine.
Kyiv dan sekutunya pula menggelar tindakan itu cubaan penaklukan tanpa provokasi apabila didakwa mengorbankan ribuan nyawa termasuk menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Peperangan juga menukarkan bandar-bandar menjadi sisa runtuhan.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, hari ini mengumumkan bantuan tambahan bernilai AS$2.61 juta (RM11.5 juta) sebagai sokongan kemanusiaan dan memberitahu Zelensky bahawa perang yang masih berlangsung itu 'bukan perang yang boleh dilupakan'.
Sejak perang bermula Februari lalu, New Zealand, sebuah negara pasifik kecil dengan populasi lebih lima juta penduduk bertindak menyekat lebih 1,200 individu dan entiti Russia.
Setakat ini, New Zealand juga menyalurkan bantuan hampir AS$40 juta (RM176.5 juta).
"Sokongan kami buat Ukraine bukan ditentukan aspek geografi. Ia tidak ditentukan oleh sejarah atau hubungan diplomatik. Penghakiman kami adalah mudah. Kami bertanya kepada diri sendiri, bagaimana jika itu adalah kami," katanya. - REUTERS