Selasa, 13 Disember 2022 | 6:18pm
Setiausaha Agung Kesatuan Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT), Mick Lynch (tengah), menyertai kakitangan kereta api ketika mogok di luar stesen Euston, London. - Foto AP
Setiausaha Agung Kesatuan Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT), Mick Lynch (tengah), menyertai kakitangan kereta api ketika mogok di luar stesen Euston, London. - Foto AP

Britain tingkat pelan luar jangka sedia hadapi mogok pekerja

LONDON: Kerajaan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, merancang mengerah kakitangan tentera dan penjawat awam supaya mengambil alih tugas pekerja yang mogok di pelabuhan dan lapangan terbang.

Tindakan terdesak itu dirangka ketika UK bersedia menghadapi tindakan perindustrian yang dijangka akan menyebabkan gangguan besar dalam beberapa minggu akan datang.

Langkah itu adalah antara pelan luar jangka yang dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Cobra semalam.

Mogok dirancang hampir setiap hari sepanjang bulan ini, dengan jururawat, kakitangan ambulans, kereta api, pekerja pos dan pegawai sempadan menuntut kenaikan gaji dalam gelombang pertikaian industri terbesar sejak 1980-an.

Sebahagian besar kesatuan berkata ahli mereka melihat gaji jatuh dari segi nyata, dengan inflasi naik pada lebih daripada 11 peratus - yang tertinggi dalam empat dekad.

Kerajaan bersetuju dengan purata kenaikan gaji sebanyak lima peratus untuk pekerja sektor awam, dan menegaskan kenaikan sepadan dengan inflasi, atau lebih tinggi, tidak mampu dibayar dan akan menjejaskan usaha menentang inflasi.

Memberi setiap pekerja kerajaan kenaikan 11 peratus akan menyebabkan kos kepada pembayar cukai kira-kira £28 bilion (RM152 bilion), kata kerajaan.

Lebih 40,000 pekerja kereta api dijangka mengadakan dua mogok selama 48 jam bermula hari ini, menjejaskan perkhidmatan di seluruh negara menjelang Krismas selain tindakan lanjut dirancang mulai 24 Disember dan awal Tahun Baharu.

Mogok yang tidak pernah disaksikan sebelum ini oleh seramai 100,000 kakitangan kejururawatan pada 15 Disember dan 20 Disember nampaknya akan diteruskan selepas menteri kelmarin menolak tawaran kesatuan jururawat supaya menggantung tindakan industri sebagai balasan kepada perbincangan mengenai gaji.

Kolej Kejururawatan Diraja menuntut kenaikan gaji sebanyak lima peratus di atas kadar inflasi RPI - kini pada 14.2 peratus - untuk menampung sekatan gaji selama bertahun-tahun.

Kira-kira 1,000 pegawai Pasukan Sempadan dijangka mogok selama lapan hari dari 23 Disember hingga 31 Disember, mengancam kelewatan pemeriksaan imigresen dan kastam di lapangan terbang Heathrow dan Gatwick antara lain, dan pelabuhan New Haven di selatan England.

Anggota tentera dan penjawat awam akan menerima latihan dalam beberapa minggu akan datang untuk menyokong pelbagai perkhidmatan termasuk Pasukan Sempadan di lapangan terbang dan pelabuhan sekiranya berlaku tindakan mogok, kata kerajaan dalam satu kenyataan kelmarin.

Angkatan bersenjata juga akan dikerahkan ke hospital di seluruh negara untuk 'membiasakan diri dengan kenderaan' menjelang mogok pekerja ambulans yang dirancang pada 21 Disember. Mesyuarat tergempar kedua dijadualkan berlangsung esok.

Kedua-dua perhimpunan Cobra akan diketuai oleh Canselor Lancaster, Oliver Dowden, dan membabitkan menteri pengangkutan, kesihatan, pejabat dalam negeri dan pertahanan.

"Pendirian yang diambil oleh kesatuan sekerja akan menyebabkan gangguan kepada berjuta-juta orang yang bekerja keras dalam beberapa minggu akan datang.

"Kerajaan akan melakukan segala yang termampu untuk mengurangkan kesan tindakan ini, tetapi satu-satunya cara menghentikan gangguan sepenuhnya adalah untuk pemimpin kesatuan sekerja kembali ke meja (rundingan) dan membatalkan mogok yang merosakkan ini," kata Dowden dalam satu kenyataan. - AGENSI

Berita Harian X