Selasa, 13 Disember 2022 | 12:37am
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Jururawat di Britain dijangka lancar mogok minggu ini

LONDON: Jururawat di Britain dijangka melancarkan mogok, minggu ini, sekali gus memburukkan lagi keadaan membebankan di hospital serta menambah tekanan ke atas Perdana Menteri, Rishi Sunak dalam menangani gelombang kemelut industri yang melanda negara ini.

Tindakan itu dilaporkan bakal menyusul selepas mogok melumpuhkan perkhidmatan pos serta rangkaian rel, lapangan terbang terpaksa bersiap siaga menghadapi gangguan, manakala doktor junior, bidan dan guru bersedia untuk mengundi keputusan, dengan ancaman meningkatkan krisis ekonomi yang dilihat sudahpun mengalami kemelesetan.

Pihak kesatuan menuntut kenaikan gaji sebanyak dua digit, sejajar dengan keadaan inflasi yang mencecah 11.1 peratus pada Oktober lalu - tertinggi dalam tempoh 41 tahun.

Namun, setakat ini, kerajaan enggan berganjak dalam soal gaji, sebaliknya sedang berusaha memperketatkan undang-undang bagi menghentikan beberapa mogok.

Mogok dijangka diadakan setiap hari sepanjang Disember, dengan pihak kesatuan menganggarkan Britain bakal kehilangan lebih sejuta hari bekerja, bulan ini.

Mogok membabitkan perkhidmatan rel oleh ahli RMT yang bermula Jun lalu, adalah langkah terbesar seumpama itu oleh kesatuan berkenaan dalam tempoh lebih 30 tahun. Bagi kumpulan jururawat, ia merupakan kali pertama mogok nasional diadakan dalam sejarah Royal College of Nursing (RNC) selama 106 tahun. Jururawat dijadualkan mogok pada Khamis ini dan Selasa berikutnya. - REUTERS

Berita Harian X