MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, memberi amaran mengenai campur tangan ketenteraan yang lama di Ukraine, namun menegaskan Moscow tidak akan menggunakan senjata nuklear melainkan diserang terlebih dulu.
Kenyataan Putin itu dibuat selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata serangan baharu Russia ke atas pasar dan stesen minyak membunuh enam orang serta mencederakan beberapa lagi di wilayah Donetsk.
Dengan konflik yang hampir masuk setahun, tentera Russia terlepas kebanyakan matlamat ketenteraan utama mereka, termasuk menjatuhkan kerajaan Ukraine, menawan wilayah Donbas dan menakluk empat wilayah.
Bahasa Putin sendiri yang berbaur ancaman dan kebuntuan di medan perang, menimbulkan kebimbangan yang Russia boleh menggunakan senjata nuklearnya untuk mencapai kejayaan ketenteraan.
Semalam, Putin memberi amaran bahawa ancaman perang nuklear semakin meningkat tetapi berjanji Russia tidak akan melakukan serangan pertama.
"Ancaman seumpama itu semakin meningkat. Kenapa perlu berahsia di sini?" katanya pada mesyuarat majlis hak asasi manusia.
Tambah beliau, Russia bagaimanapun akan menggunakan satu senjata nuklear saja sebagai tindak balas kepada serangan musuh.
"Apabila kami diserang, kami menyerang kembali," katanya, sambil menegaskan strategi Moscow adalah berasaskan dasar yang dikatakan 'serangan balas'.
Moscow menjangkakan pertempuran akan berlaku hanya selama beberapa hari sebelum Ukraine menyerah kalah, namun semalam, Putin memberi amaran ia mungkin akan mengambil masa yang lama.
"Bagi proses yang lama untuk (melihat) hasil operasi ketenteraan khas, sudah tentu ini adalah proses yang panjang," kata Putin.
Bagaimanapun, beliau memuji pengumuman penggabungan empat wilayah Ukraine ke dalam Russia selepas proksi Moscow mengadakan referendum, yang dikecam Barat sebagai palsu, dan mengumumkan integrasi mereka pada September lalu. - AFP