MONTREAL: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyelar syarikat multinasional kerana mengutamakan keuntungan berbanding pemuliharaan alam semula jadi.
Tegas beliau, tindakan ketamakan mementingkan kekayaan itu menjadikan ekosistem dunia sebagai 'sumber keuntungan' sekali gus bimbang jika perkara itu tidak dibetulkan, ia akan memudaratkan penduduk dunia secara umum.
"Dengan selera yang tiada had untuk pertumbuhan ekonomi yang tidak terkawal dan seimbang, manusia sendiri menjadi senjata kepupusan besar-besaran," katanya dalam ucapan menjelang persidangan biodiversiti di Montreal.
Sejak menjalankan tugasnya pada 2017, Guterres yang juga bekas Perdana Menteri Portugis, menjadikan perkara berkaitan perubahan iklim sebagai isu pentingnya.
Kecaman yang membara pada pembukaan upacara persidangan yang dikenali sebagai COP15, mendedahkan nasib tumbuhan dan haiwan yang terancam di bumi dan krisis yang saling berkaitan antara isu yang sangat dekat dengan hatinya.
Sebelum sesi ceramahnya, lebih 10 penunjuk perasaan masyarakat Orang Asli mengganggu ucapan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menjadi tuan rumah bersama acara itu dengan China.
Mereka mengibarkan sepanduk yang antaranya tertera 'Pembunuhan Orang Asli = Pembunuhan Alam Sekitar' dan 'Henti Ceroboh Tanah Kami Bagi Selamatkan Kepelbagaian Biologi'
Laungan itu bergema selama beberapa minit saja sebelum mereka diiringi keluar sambil disambut dengan tepukan yang hambar.
"Seperti yang anda boleh lihat, Kanada adalah tempat bebas bersuara, di mana individu dan komuniti bebas boleh secara terbuka dan tegas, dan kami berterima kasih kepada mereka kerana berkongsi perspektif mereka," kata Guterres.
COP15 adalah acara berbeza dengan COP27 yang berlangsung awal bulan ini, iaitu rundingan PBB mengenai iklim.
Hampir 200 negara berkumpul bagi menjayakan persidangan yang diadakan mulai hari ini hingga 19 Disember dalam usaha mencipta 'Detik Paris' untuk alam semula jadi.
Ini berikutan cabaran sangat menggerunkan, dengan satu juta spesies menghadapi risiko kepupusan; iaitu satu pertiga daripada semua tanah rosak teruk dan tanah subur hilang; manakala pencemaran dan perubahan iklim mempercepatkan pencemaran lautan.
Bahan kimia, plastik dan pencemaran tanah, air dan udara, manakala pemanasan bumi yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil menyebabkan gangguan iklim, daripada gelombang haba dan kebakaran hutan hinggalah kepada kemarau dan banjir.
"Kita menyantuni alam semula jadi umpama menggunakan tandas," kata Guterres secara terus terang.
Akibatnya, tambah beliau, manusia membunuh diri sendiri menggunakan proksi iaitu kehilangan peluang kerja, kebuluran, penyakit dan kematian.
Pencemaran ekosistem ini mengakibatkan kerugian ekonomi yang diunjurkan berjumlah AS$3 trilion (RM13.18 trilion) setiap tahun mulai 2030.
Deraf sasaran untuk rangka kerja 10 tahun termasuk ikrar asas untuk melindungi 30 peratus daratan dan laut dunia menjelang 2030, menghapuskan subsidi perikanan dan pertanian berbahaya, menangani spesies penceroboh dan mengurangkan racun perosak.
Bagaimanapun, matlamat baharu itu sangat bergantung kepada pembabitan Orang Asli, yang menjaga tanah yang menjadi habitat kepada kira-kira 80 peratus daripada kepelbagaian biologi bumi.
Belah bahagi sudah pun muncul mengenai isu utama pembiayaan, dengan negara kaya berada di bawah tekanan untuk menyalurkan lebih banyak wang kepada negara membangun bagi pemuliharaan alam sekitar.
Harapan itu hilang kerana ketiadaan pemimpin dunia, dengan Trudeau menjadi satu-satunya pemimpin negara yang hadir. COP15 kini dipengerusikan oleh China, tetapi ia tidak menjadi tuan rumah persidangan berikutan pandemik COVID-19. - AFP