Selasa, 6 Disember 2022 | 8:34am
Penduduk tempatan mengecas peranti mereka, menggunakan sambungan internet dan memanaskan badan di dalam kubu bawah tanah. - Foto AGENSI
Penduduk tempatan mengecas peranti mereka, menggunakan sambungan internet dan memanaskan badan di dalam kubu bawah tanah. - Foto AGENSI

Serangan baru Russia sasar prasarana tenaga Ukraine

KYIV: Russia semalam melancarkan siri serangan baru peluru berpandu ke atas prasarana tenaga Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa wilayah.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata sistem pertahanan udaranya berjaya menembak jatuh 60 daripada lebih 70 peluru berpandu Russia yang dilancarkan dalam serangan itu.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan beberapa bangunan, termasuk rumah-rumah, musnah.

Di ibu kota Kyiv, penduduknya bergegas ke kubu-kubu bawah tanah apabila semboyan amaran dibunyikan.

Bahkan, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, yang sedang berada di Kyiv juga terpaksa berlindung di dalam sebuah kubu.

Tentera Russia menyerang prasarana tenaga Ukraine sejak Oktober lalu.

Sekitar separuh daripada rangkaian bekalan elektrik Ukraine sudah musnah, menyebabkan jutaan penduduknya kekurangan tenaga elektrik dalam musim sejuk yang baru bermula.

Tentera Ukraine pula dilaporkan menyerang dua pangkalan tentera Russia di dalam wilayah Russia.

Akhbar New York Times memetik seorang pegawai kanan Ukraine sebagai berkata, serangan menggunakan dron itu memusnahkan sekurang-kurangnya dua pesawat dan merosakkan beberapa yang lain. - AGENSI

Berita Harian X