Isnin, 5 Disember 2022 | 9:44pm
Orang ramai berlindung di stesen kereta api metro ketika Russia melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Orang ramai berlindung di stesen kereta api metro ketika Russia melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS

Russia lancar serangan peluru berpandu baharu serang Ukraine

KYIV: Ukraine memaklumkan Russia melancarkan pusingan baharu serangan peluru berpandu hari ini, ketika negara Barat cuba menetapkan harga siling bagi minyak keluaran Russia.

Tindakan itu berlandaskan alasan bahawa keuntungan minyak dari dasar laut perairan Russia digunakan negara itu bagi terus membiayai pencerobohan di Ukraine.

Siren amaran udara dibunyikan di seluruh Ukraine dan pegawai menggesa orang awam berlindung daripada apa yang dikatakan sebagai 'gelombang serangan peluru berpandu' Russia yang terbaru sejak pencerobohannya pada 24 Februari lalu.

Jurucakap tentera udara, Yuriy Ihnat, mengesahkan beberapa peluru berpandu sudah pun dilancarkan dan Ukraine dihujani serangan.

"Bagaimanapun tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa, namun pegawai berkata bahawa bunyi letupan kedengaran di beberapa kawasan ketika sistem pertahanan bantuan mula digerakkan," katanya.

Tentera Russia kini semakin kerap menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini ketika berdepan kekalahan di medan perang, sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik terbesar menjelang musim sejuk.

Ketua staf presiden Ukraine, Andriy Yermak, mengingatkan penduduk supaya tidak mengabaikan amaran bunyi penggera.

Ukraine baru saja menjadualkan gangguan bekalan elektrik bermula hari ini, berbanding darurat kegelapan darurat yang dialaminya sejak serangan meluas pada 23 November lalu.

Serangan terburuk ke atas infrastruktur tenaga bermula pada awal Oktober lalu dan Russia mendakwa serangan itu bertujuan 'membunuh' semangat tentera Ukraine.

Ukraine bagaimanapun berkata serangan jelas ditujukan kepada orang awam dan adalah jenayah perang.

Had harga AS$60 (RM262) setong bagi minyak mentah laut Russia berkuat kuasa hari ini.

Jumaat lalu, Kumpulan Negara G7 dan Australia mencapai persetujuan selepas ahli Kesatuan Eropah (EU), Poland, yang sebelum ini mahukan had harga lebih rendah, menggugurkan bantahannya.

Russia adalah pengeksport minyak kedua terbesar di dunia dan hampir keseluruhan Eropah dan negara Barat lain bergantung kepadanya.

Perjanjian yang dipersetujui sekarang membenarkan minyak Russia dihantar ke negara pihak ketiga menggunakan kapal tangki G7 dan EU dengan perlindungan syarikat insurans dan pinjaman institusi kredit, hanya jika kargo itu dibeli pada atau di bawah paras AS$60 (RM262) setong.

Moscow berkata ia tidak akan mematuhi langkah itu walaupun terpaksa mengurangkan pengeluaran manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, berkata AS$60 (RM262) masih tidak cukup untuk menghentikan serangan Russia.

Kedua-dua pihak melaporkan kematian akibat serangan yang dilancarkan semalaman, di sebuah perusahaan perindustrian dan lokasi lain di selatan Ukraine serta tempat penginapan dikendalikan kerajaan di wilayah dikuasai Russia di timur.

Sekurang-kurangnya dua maut di Zaporizhzhia, selatan Ukraine selepas peluru berpandu Russia menghentam bangunan dan beberapa rumah. - REUTERS

Berita Harian X