LONDON: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) Britain menolak tawaran kenaikan gaji sebanyak empat peratus pada 2022 dan 2023 daripada pengendali kereta api bagi menghentikan tindakan mogok yang mengganggu perjalanan untuk berjuta-juta pengguna kereta api.
RMT minggu lalu berkata, lebih 40,000 pekerja kereta api akan melancarkan mogok sepanjang Disember dan Januari dalam pertikaian lama mengenai gaji, menandakan akan berlaku gangguan perjalanan sebelum dan selepas tempoh cuti Krismas yang sibuk.
Kumpulan Penghantaran Rel, yang mewakili pengendali kereta api, sebelum ini menawarkan RMT kenaikan gaji sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua tahun dengan jaminan tiada pemberhentian wajib hingga April 2024.
"Kami menolak tawaran ini kerana ia tidak memenuhi mana-mana kriteria kami untuk mendapatkan penyelesaian mengenai jaminan pekerjaan jangka panjang, kenaikan gaji yang berpatutan dan melindungi keadaan kerja," kata Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch dalam satu kenyataan.
Menjawab isu itu, Setiausaha Pengangkutan Britain, Mark Harper berkata keadaan ini amat mengecewakan dan tidak adil kepada orang ramai, penumpang dan tenaga kerja kereta api yang mahukan perjanjian.
"Perjanjian ini akan membantu kereta api berjalan tepat pada masanya," katanya.
Pekerja kereta api di Britain melancarkan beberapa mogok tahun ini, termasuk mogok terbesar di negara itu dalam beberapa dekad semasa musim panas, mendesak tuntutan untuk gaji yang lebih baik semasa krisis kos sara hidup.
Sebelum ini syarikat kereta api memberi amaran mengenai gangguan perjalanan menjelang Krismas akibat mogok, malah Persatuan Bir dan Pub British (BBPA) mengatakan minggu mogok yang dirancang untuk bulan Disember biasanya adalah paling sibuk untuk industri pub. - REUTERS