Khamis, 1 Disember 2022 | 1:10pm
Seorang jururawat menyediakan suntikan vaksin COVID-19 . - Foto AFP
Seorang jururawat menyediakan suntikan vaksin COVID-19 . - Foto AFP

Kemasukan ke hospital akibat COVID-19 meningkat di Itali

ROM: Kemasukan pesakit ke hospital akibat COVID-19 meningkat di Itali termasuk bagi wad unit rawatan rapi (ICU) walaupun tidak seteruk kemasukan ke wad biasa.

Menurut laporan Persekutuan Agensi Kesihatan dan Hospital Itali (FIASO), secara keseluruhan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 di negara itu meningkat sebanyak 19.5 peratus setakat Selasa lalu.

Bagi minggu kedua berturut-turut, peningkatan kes COVID-19 mencatatkan pertambahan dua angka, menyusuli peningkatan 24 peratus seminggu sebelum itu tetapi kenaikan kemasukan ke ICU adalah kecil iaitu sembilan peratus minggu lalu.

Data FIASO menunjukkan jumlah individu tidak divaksin dimasukkan ke hospital kerana COVID-19 meningkat lebih tinggi berbanding mereka yang divaksin.

Kemasukan ke hospital membabitkan pesakit tidak divaksin mencatatkan peningkatan 28 peratus di wad biasa dan 30 peratus di wad ICU.

Secara purata, pesakit tidak divaksin yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 adalah 10 tahun lebih muda berbanding pesakit sudah divaksin yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, menurut laporan sama.

Peningkatan itu berlaku ketika pihak berkuasa kesihatan memberi amaran mengenai potensi 'gelombang musim sejuk' COVID-19 di Itali, yang juga negara pertama di Eropah paling teruk terjejas akibat pandemik itu pada 2020.

Minggu lalu, Institut Kesihatan Kebangsaan (ISS) Itali berkata kadar jangkitan virus sudah melebihi 1.0 sekali lagi, menandakan keupayaan berjangkit coronovirus bertambah, dengan setiap pesakit yang sembuh digantikan dengan lebih daripada satu jangkitan baru.

Negara itu juga menyaksikan pengagihan vaksin penggalak yang agak perlahan dan Presiden FIASO, Giovanni Migliore, berkata virus itu sudah menjadi endemik di Itali dan adalah lebih baik bagi pegawai kesihatan menggalakkan suntikan vaksin berkala.

FIASO juga melaporkan bahawa 65 peratus daripada pesakit dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 pada awalnya dirawat bagi masalah kesihatan lain manakala baki 35 peratus dimasukkan ke hospital hanya bagi COVID-19. - AGENSI

Berita Harian X