PARIS: COVID-19 subvarian BQ.1.1 kini mengatasi subvarian BA.5 di Perancis, kata Presiden Jawatankuasa Pemantauan dan Jangkaan Risiko Kesihatan (COVARS), Brigitte Autran, kepada stesen berita BFMTV semalam.
Beliau yang juga pakar imunologi, berkata kebangkitan terbaru COVID-19 kali ini adalah 'permulaan gelombang baharu', walaupun kadar peningkatan jangkitan belum mencapai tahap ketara.
"Trend ini tidak bagus, jangkitan terus meningkat kerana kemunculan subvarian baharu coronavirus.
"BA.5 iaitu subvarian asal kepada subvarian Omicron sebelum ini yang tersebar luas di Perancis, kini sudah digantikan sama sekali oleh subvarian BQ.1.1, yang berasal daripada varian BA.5.
"Varian ini lebih mudah berjangkit, sekali gus menjelaskan kenapa berlaku peningkatan jangkitan COVID-19 secara mendadak," katanya.
Tambah Autran, subvarian BQ.1.1 kini ditemui di serata dunia dan belum diketahui sama ada kesannya lebih buruk tetapi sudah dipastikan ia lebih mudah berjangkit dan orang ramai perlu mendapatkan perlindungan segera menerusi vaksinasi.
Justeru, beliau menggesa orang ramai yang layak supaya segera mendapatkan suntikan dos vaksin penggalak kerana ia terbukti mampu melindungi daripada kesan teruk COVID-19 termasuk menghindari kematian.
Katanya lagi, amalan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan mengelakkan kawasan sesak terutama dalam pengangkutan awam, harus dipatuhi semula secara serius. - AGENSI