KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran Russia pasti akan melancarkan serangan peluru berpandu baharu ketika negaranya menghadapi krisis bekalan tenaga dan suhu sejuk melampau.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pasukan pertahanan dan rakyatnya supaya bersiap sedia menghadapi tekanan baharu terutama serangan memusnahkan loji jana kuasa negara.
Ketika ini, salji turun di Kyiv dan suhu berlegar di sekitar tahap beku semalam dengan ramalan cuaca berkabus.
Pihak berkuasa bandar bagaimanapun berkata, pekerjanya hampir menyelesaikan pemulihan kuasa, air dan haba, tetapi tahap penggunaan yang tinggi mengakibatkan beberapa kawasan terputus bekalan.
"Kami faham bahawa pengganas merancang serangan baharu. Kami tahu fakta ini adalah benar dan selagi mereka mempunyai peluru berpandu, mereka tidak akan bertenang, "kata Zelensky dalam ucapan video.
Tambah beliau, minggu akan datang mungkin sukar seperti minggu sebelumnya, apabila serangan ke atas infrastruktur elektrik menyebabkan Ukraine mengalami krisis bekalan elektrik paling buruk sejak tentera Russia menyerang pada Februari lalu.
"Pasukan pertahanan kita sedang bersiap sedia, malah seluruh negara sedang bersiap sedia dan kami menilai semua senario, termasuk dengan rakan kongsi kami," katanya.
Setakat ini, tiada maklum balas segera dari Moscow terhadap dakwaan Zelensky.
Sejak Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, Moscow menyatakan, mereka tidak menyasarkan penduduk awam namun, Kremlin pada Khamis lalu berkata, Kyiv boleh 'mengakhiri penderitaan' penduduknya dengan memenuhi tuntutan Russia.
Russia sudah menguasai kawasan timur dan selatan Ukraine pada September dan Presiden Vladimir Putin berkata, tuntutan wilayah Moscow tidak boleh dirundingkan.
Zelenskiy juga menegaskan tidak akan berunding dengan Moscow malah menyatakan, integriti wilayah Ukraine tidak boleh dirundingkan.
Semalam, suasana agak tenang tanpa serangan dahsyat ke atas Kyiv atau bandar utama lain dan komando tentera pusat Ukraine berkata, tentera Russia sudah melancarkan empat serangan peluru berpandu dan menembak beberapa kali ke arah objek awam di wilayah Dnipropetrovsk.
Namun Zelensky berkata, keadaan kekal sengit di sepanjang barisan hadapan di pelbagai bahagian di Ukraine.
"Paling sukar adalah di wilayah Donetsk, seperti yang berlaku pada minggu-minggu sebelumnya," katanya.
Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine berkata tentera Russia sudah membedil sedozen kampung di Donetsk, termasuk sasaran utama Bakhmut dan Avdiivka. - REUTERS