Ahad, 27 November 2022 | 4:00pm
Penduduk tempatan mengecas peranti mereka, menggunakan sambungan internet dan memanaskan badan di dalam pusat perlindungan di Kyiv. Foto AGENSI
Penduduk tempatan mengecas peranti mereka, menggunakan sambungan internet dan memanaskan badan di dalam pusat perlindungan di Kyiv. Foto AGENSI

Salji menyelubungi Kyiv bermula hari ini

KYIV: Salji lebat dijangka turun di Kyiv bermula hari ini, dengan suhu menurun di bawah paras beku.

Bagaimanapun, jutaan penduduk yang masih berada di ibu negara Ukraine, kini mempunyai bekalan elektrik dan haba yang sedikit.

Pengendali grid, Ukrenergo, semalam berkata pengeluar elektrik hanya mampu menampung hanya tiga perempat daripada keperluan pengguna dengan sekatan dan pemotong terpaksa dilakukan di seluruh negara.

Presiden Volodymyr Zelenskiy berkata, terdapat sekatan ke atas penggunaan elektrik di 14 daripada 27 wilayah Ukraine dan Kyiv, untuk 'lebih daripada 100,000' penduduk di setiap wilayah.

"Sekiranya penggunaan meningkat pada waktu petang, bilangan gangguan mungkin meningkat.

"Ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya untuk menjimatkan kuasa dan menggunakannya secara rasional," katanya.

Ketua pegawai operasi YASNO, yang menyediakan tenaga kepada Kyiv, Sergey Kovalenko, berkata keadaan di bandar itu bertambah baik namun masih kekal 'sukar'.

Beliau menunjukkan bahawa penduduk perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat jam kuasa setiap hari.

"Jika anda tidak mempunyai sekurang-kurangnya empat jam bekalan elektrik sebelum ini, tulis kepada DTEK Kyiv Electric Networks dan kami akan membantu anda memikirkan masalahnya," kata Kovalenko menerusi hantarannya di Facebook.

Pengeboman terbaharu Russia Rabu lalu menyebabkan kerosakan paling teruk setakat ini dalam konflik berkenaan sehingga menyebabkan jutaan orang di Ukraine tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau haba.

Russia menegaskan ia tidak menyasarkan penduduk awam dan mengatakan serangan Moscow ke atas infrastruktur tenaga adalah disebabkan oleh keengganan Kyiv untuk berunding.

Dalam pertelingkahan awam membabitkan pemimpin Ukraine, Zelenskiy, mengkritik datuk bandar Kyiv kerana melakukan kerja yang buruk dalam menubuhkan pusat perlindungan kecemasan bagi membantu mereka yang tidak mempunyai kuasa dan tenaga selepas serangan Russia.

Ukrenergo berkata, pemotongan bekalan elektrok akan berterusan dan menggesa penggunaan kuasa yang terhad.

"Kami ingin mengingatkan anda bahawa setiap warga Ukraine yang mempunyai bekalan elektrik boleh membantu orang lain memulihkannya dengan lebih cepat, hanya dengan menggunakannya secara berjimat cermat," katanya.

Salji dijangka berterusan di Kyiv, bandar yang mempunyai 2.8 juta penduduk sebelum perang, sehingga pertengahan minggu ini manakala suhu diramalkan kekal di bawah paras beku. - REUTERS

Berita Harian X