Sabtu, 26 November 2022 | 12:28pm
Sekutu Barat Ukraine telah mengecam serangan Russia ke atas infrastruktur tenaganya sebagai jenayah perang. - Foto AFP
Sekutu Barat Ukraine telah mengecam serangan Russia ke atas infrastruktur tenaganya sebagai jenayah perang. - Foto AFP

15 terbunuh akibat serangan Russia di Kherson

KYIV: Serangan Russia ke atas bandar Kherson di selatan Ukraine semalam membunuh 15 orang awam dan 35 cedera, ketika jurutera di seluruh negara berusaha memulihkan bekalan haba, air dan kuasa elektrik ke bandar-bandar utama.

Susulan itu, Gabenor wilayah itu berkata, pesakit di hospital bandar dan lain-lain daripada unit psikiatri dipindahkan kerana 'serangan berterusan Russia' dan Majlis Bandar Kherson menawarkan untuk memindahkan orang awam ke wilayah lain.

Terdahulu, serangan udara Russia dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengakibatkan infrastruktur tenaga Ukraine lumpuh ketika musim sejuk menghampiri dan suhu hampir membeku, mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kesihatan dan pemindahan beramai-ramai.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata lebih enam juta isi rumah di negara itu masih terjejas akibat pemadaman elektrik, dua hari selepas serangan Russia yang disasarkan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine.

"Kami perlu mengharungi musim sejuk yang akan diingati oleh semua orang," kata Zelensky di media sosial, ketika Setiausaha Luar United Kingdom, James Cleverly melawat untuk mengumumkan pakej bantuan baharu.

Sementara itu, Menteri Luar Britain juga mengumumkan bantuan baharu untuk Ukraine, termasuk ambulans dan sokongan untuk mangsa keganasan seksual oleh askar Russia.

Dalam pada itu, syarikat tenaga nasional negara itu, Ukrenergo, berkata grid masih menghadapi defisit 30 peratus dengan jurutekniknya bekerja sepanjang masa untuk memulihkan kuasa.

Bagaimanapun, ia dijangka akan meningkatkan liputan pada hujung minggu, dirangsang oleh kuasa nuklear tambahan.

Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmygal, berkata hampir semua infrastruktur kritikal Ukraine sudah disambung semula terutama yang paling kritikal termasuk air, loji penjanaan haba, hospital dan perkhidmatan kecemasan.

Namun, Shmygal berkata, pengguna akan berdepan pemotongan bekalan elektrik berjadual di setiap wilayah negara.

Sekutu Barat Ukraine mengecam serangan Russia ke atas infrastruktur tenaga sebagai 'jenayah perang'.

Sebaliknya Moscow menegaskan ia hanya menyasarkan infrastruktur berkaitan ketenteraan dan menyalahkan Kyiv untuk pemadaman bekalan elektrik, mengatakan Ukraine boleh menamatkan penderitaan dengan bersetuju terhadap tuntutan Russia. - AFP

Berita Harian X