Jumaat, 25 November 2022 | 3:19pm
Penduduk setempat berasak mengecas telefon bimbit di salah sebuah punca tenaga yang masih berfungsi di Kherson, selatan Ukraine, yang dihujani serangan peluru berpandu, mortar dan artileri Russia sehingga semua infrastruktur tenaga musnah. - Foto AP
Penduduk setempat berasak mengecas telefon bimbit di salah sebuah punca tenaga yang masih berfungsi di Kherson, selatan Ukraine, yang dihujani serangan peluru berpandu, mortar dan artileri Russia sehingga semua infrastruktur tenaga musnah. - Foto AP

Russia guna cuaca sejuk melampau sebagai 'senjata' tekan Ukraine

KYIV: Bekalan elektrik di dua daripada empat loji jana kuasa nuklear Ukraine kembali pulih semalam, namun sebahagian besar kawasan di negara itu masih bergelap susulan serangan udara paling dahsyat setakat ini terhadap infrastruktur tenaganya.

Imej satelit yang dikeluarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menunjukkan pemandangan di Ukraine seolah-olah ia hanya satu tompok gelap pada waktu malam.

Ini susulan serangan peluru berpandu Russia yang bertubi-tubi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam pada itu, disebabkan suhu semasa di negara itu kini menjunam di bawah sifar, pihak berkuasa berusaha melakukan penyambungan tenaga elektrik.

Untuk rekod, serangan peluru berpandu terbaru Russia menyebabkan 10 orang maut dan mengakibatkan penutupan semua loji tenaga nuklear Ukraine buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

Pihak berkuasa wilayah di Kyiv berkata, kuasa elektrik membabitkan tiga perempat daripada kawasan di ibu negara itu dan bekalan air yang terjejas di beberapa tempat sudah beransur pulih pagi semalam.

Selain itu, sistem pengangkutan kembali beroperasi di bandar dengan bas menggantikan trem elektrik.

Pihak berkuasa turut berharap penyambungan semula tiga loji tenaga nuklear di wilayah yang dikuasai Ukraine itu dapat dilaksanakan.

Pegawai kerajaan berkata, petang semalam, reaktor salah satu loji nuklearnya di Khmelnytskyi, elah disambung semula ke grid elektrik.

Syarikat nuklear Ukraine, Energoatom, berkata pihaknya terpaksa mengaktifkan kuasa diesel bagi penyambungan semula tenaga elektrik di loji jana kuasa Zaporizhzhia, semalam, yang terletak di wilayah dikuasai Russia.

Sejak awal Oktober, Russia menyasarkan loji kuasa di seluruh Ukraine dengan serangan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Russia melancarkan peluru berpandu bernilai ratusan juta dolar untuk menumbangkan grid elektrik Ukraine.

Pegawai nuklear berkata, gangguan kuasa elektrik boleh mengganggu sistem penyejukan dan menyebabkan bencana atom.

"Terdapat bahaya yang jelas disebabkan malapetaka nuklear dan radiasi berpunca daripada tembakan ke seluruh wilayah Ukraine menggunakan peluru berpandu dan balistik oleh Russia.

"Russia mesti memberikan jawapan berhubung jenayah yang memalukan ini," kata Ketua Eksekutif Energoatom, Petro Kotin. - REUTERS

Berita Harian X