Jumaat, 25 November 2022 | 1:42pm
Orang ramai masih mengunjung pantai Santa Monica di Selatan California, Amerika Syarikat (AS) walaupun puhak berkuasa sudah mengeluarkan amaran bahang panas melampau. - Foto AFP
Orang ramai masih mengunjung pantai Santa Monica di Selatan California, Amerika Syarikat (AS) walaupun puhak berkuasa sudah mengeluarkan amaran bahang panas melampau. - Foto AFP

Kematian akibat gelombang haba di Eropah meningkat lebih 20,000 mangsa

LONDON: Gelombang haba pada musim panas kali ini di Perancis, Jerman, Sepanyol dan Britain menyebabkan kadar kematian bertambah sebanyak 20,000 mangsa, berdasarkan laporan yang disusun mengikut angka rasmi kes direkodkan.

Suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius atau lebih tinggi dicatatkan di Paris sehingga ke London pada tahun ini.

Menurut saintis iklim dari Kumpulan Penyumbang Cuaca Dunia, suhu sedemikian yang amat tinggi 'hampir mustahil' berlaku tanpa perubahan iklim.

Gelombang haba pada 2003 menyebabkan lebih 70,000 kematian di seluruh Eropah dengan sebahagian besarnya dicatatkan di Perancis.

Ia mendorong lebih banyak negara melaksanakan langkah seperti sistem amaran awal, meminta orang ramai memeriksa keadaan orang sekeliling dan memastikan sekolah dilengkapi pendingin hawa.

Penyelidik gelombang haba di Universiti Graz, Austria, Chloe Brimicombe, berkata pelbagai pelan tindakan yang dilaksanakan mungkin berhasil mengurangkan beberapa kesan gelombang haba tahun ini, namun jumlah kematian masih lebih tinggi daripada jangkaan.

"Saya melihat... ia adalah gelombang haba paling memberi kesan sejak 2003," katanya kepada Reuters.

Memandangkan pihak berkuasa tidak mengaitkan kebanyakan kematian secara langsung berpunca daripada fenomena gelombang haba, pakar perangkaan menggunakan formula tertentu untuk membuat anggaran.

Ini termasuk melihat kepada bilangan kematian yang lebih tinggi dalam tempoh tertentu, berbanding jumlah yang dianggarkan.

Cuaca panas melampau berisiko menyebabkan kematian terutama melalui strok haba, yang berupaya merosakkan otak, buah pinggang dan organ lain, malah ia juga boleh mencetuskan isu kesihatan lain seperti serangan jantung atau masalah pernafasan.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia pada bulan ini berkata, Eropah berdepan cuaca panas melampau dua kali lebih banyak daripada negara dunia lain sepanjang tiga dekad lalu.

Sementara itu, Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus berkata, musim panas tahun ini merekodkan cuaca paling panas dalam rekod.

Perancis melaporkan kira-kira separuh kematian yang melebihi jangkaan pada musim panas di Eropah Barat daripada 10,420 kematian yang dicatatkan.

Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan Britain, England dan Wales yang turut mencatatkan peningkatan kes kematian pada musim panas iaitu 3,271 orang.

Sepanyol merekodkan 4,655 kes kematian akibat gelombang haba di antara Jun dan Ogos manakala agensi kesihatan Jerman pula melaporkan sebanyak 4,500 kes. - REUTERS

Berita Harian X