KYIV: Moscow dalam keadaan berjaga-jaga selepas semenanjung Crimea yang dirampas Russia daripada Ukraine menjadi sasaran serangan dron semalam, kata pihak berkuasa Kremlin.
Serangan itu berlaku ketika Kyiv mendakwa berjaya menawan satu lagi wilayah dan hanya beberapa hari selepas Moscow berkata, ia akan bertindak mengukuhkan kedudukannya di semenanjung Crimea.
"Terdapat serangan menggunakan dron, pasukan pertahanan udara kami sedang bekerja keras menghadapi serangan berkenaan," kata gabenor wilayah pentadbiran Sevastopol di Crimea, Mikhail Razvozhayev, menerusi Telegram.
Menurutnya, dua dron sudah telah ditembak jatuh dan beliau turut memaklumkan, tiada infrastruktur awam yang rosak, selain menggesa penduduk supaya 'kekal bertenang'.
Moscow mengambil alih Crimea pada 2014 selepas demonstrasi pro-demokrasi di seluruh negara sehingga membawa kepada penyingkiran presiden Ukraine yang mempunyai hubungan baik dengan Kremlin.
Ia menggunakan semenanjung yang menempatkan beberapa pangkalan utama tentera Russia itu sebagai lokasi bagi melancarkan serangan sejak pencerobohan negara itu ke atas Ukraine pada Februari lalu.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, memberitahu Kesatuan Eropah (EU) dalam sidang akhbar dalam talian bahawa sokongan badan itu penting, terutama menyuarakan amaran berhubung 'kelesuan' dalam menghadapi peperangan berkenaan.
"Jika kami rakyat Ukraine tidak letih, seluruh Eropah tidak mempunyai hak moral mahupun politik untuk merasakan sedemikian," katanya.
Kuleba menggesa EU melaksanakan pusingan baharu sekatan terhadap Russia, dengan memberikan perhatian khusus terhadap langkah memperlahankan dan menghentikan industri peluru berpandu negara berkenaan.
Semalam, kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan menyalurkan tambahan AS$4.5 bilion (RM20.5 bilion) sokongan kewangan bagi 'menyokong perkhidmatan asas kerajaan'.
Pada masa sama, Bank Dunia turut memberi amaran bahawa kemusnahan grid kuasa Ukraine akibat serangan bersasar Russia kini menyebabkan penduduk tempatan terdedah kepada cuaca sejuk melampau yang kini semakin menghampiri paras beku.
"Kremlin mahu menjadikan musim sejuk melampau ini sebagai 'senjata pembunuhan besar-besaran'," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam mesej video kepada Perancis.
Sementara itu, syarikat gergasi minyak, Gazprom, menuduh Ukraine menghentikan penyaluran gas asli menerusi Moldova dan mengugut untuk menyekat penghantaran menerusi paip utama ke Eropah.
Dakwaan itu adalah ketegangan terbaru berhubung pembekalan tenaga antara Kyiv, ibu negara Eropah dan Moscow, yang mengurangkan penghantaran ke Eropah susulan sekatan Barat berhubung konflik. - AFP