Selasa, 22 November 2022 | 1:09pm
Orang ramai beratur bagi mendapatkan bantuan makanan di Kherson, selatan Ukraine. - Foto AP
Orang ramai beratur bagi mendapatkan bantuan makanan di Kherson, selatan Ukraine. - Foto AP

Jutaan nyawa di Ukraine terancam pada musim sejuk

KYIV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran musim sejuk yang melanda Ukraine akan mengancam jutaan nyawa, ketika negara itu sedang bergelut menentang serangan Russia.

Ini berikutan Moscow menyasarkan infrastruktur tenaga dan melancarkan peluru berpandu yang mengakibatkan semua kediaman negara itu terputus bekalan elektrik, ketika suhu semakin sejuk menghampiri paras beku.

Kemusnahan itu mempunyai 'kesan sangat teruk' pada sistem kesihatan Ukraine, kata Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge, kepada media.

"Musim sejuk ini mengenai kelangsungan hidup," katanya sambil memberi amaran, ia akan 'mengancam nyawa berjuta-juta orang' di Ukraine.

"Sehingga tiga juta rakyat Ukraine mungkin terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk mencari sumber haba dan mendapatkan perlindungan keselamatan.

"Mereka akan menghadapi cabaran kesihatan yang unik, termasuk jangkitan pernafasan seperti COVID-19, radang paru-paru, influenza dan risiko serius difteria serta campak dalam kalangan penduduk yang kurang diberi vaksin," katanya. - AFP

Berita Harian X