Isnin, 21 November 2022 | 11:42am
Loji Jana Kuasa Nuklear Zaporizhzhia di bandar Nikopol, Ukraine yang diserang Russia. - Foto REUTERS
Loji Jana Kuasa Nuklear Zaporizhzhia di bandar Nikopol, Ukraine yang diserang Russia. - Foto REUTERS

Russia hujani barisan hadapan Ukraine dengan bedilan artileri - Zelensky

KYIV: Ukraine mendakwa tentera Russia semalam menggempur kedudukannya dengan tembakan artileri, selain melakukan hampir 400 serangan hanya tertumpu di wilayah timur, kata Presidennya, Volodymyr Zelensky. dalam ucapan video.

Bulan ini, Russia menarik balik tenteranya dari bandar Kherson di selatan dan memindahkan sebahagian daripada tentera itu untuk mengukuhkan kedudukan di wilayah timur Donetsk dan Luhansk, kawasan perindustrian dikenali sebagai Donbas.

"Ini adalah pertempuran paling sengit, seperti sebelumnya, dengan kali ini membabitkan serangan hanya di wilayah Donetsk.

"Walaupun terdapat lebih sedikit serangan hari ini (semalam) walaupun dalam keadaan cuaca lebih buruk, malangnya jumlah tembakan Russia masih sangat tinggi," katanya.

Katanya, di rantau Luhansk, tenteranya perlahan-lahan bergerak ke hadapan sambil membalas serangan.

"Sehingga kini, terdapat hampir 400 serangan artileri di timur sejak dari awal semalam," katanya.

Zelenskiy berkata, tenteranya di selatan 'secara konsisten dan sangat teliti memusnahkan tempat yang diduduki tentera Russia," katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Timbalan Ketua Pentadbiran Zelensky, Kyrylo Tymoshenko, berkata sehingga lewat semalam tentera Russia masih melepaskan tembakan ke arah bangunan kediaman di wilayah Kherson, selatan Ukraine.

"Mungkin terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Perkhidmatan kecemasan sedang berusaha menjalankan kerja menyelamatkan di lokasi kejadian," katanya melalui mesej di aplikasi Telegram.

Ibu kota wilayah yang baru ditawan semula, bandar Kherson, kekal tanpa bekalan elektrik, sumber air atau pemanas.

Sabtu lalu, Kyiv berkata, kira-kira 60 askar Russia terkorban dalam serangan artileri jarak jauh di selatan, serangan kali kedua dalam tempoh empat hari yang mana Ukraine mendakwa menyebabkan kematian besar dalam satu kejadian. - REUTERS

Berita Harian X