Jumaat, 18 November 2022 | 12:54pm
Penduduk setempat di Kherson, selatan Ukraine mendapatkan bantuan makanan daripada sukarelawan World Central Kitchen. - Foto AP
Penduduk setempat di Kherson, selatan Ukraine mendapatkan bantuan makanan daripada sukarelawan World Central Kitchen. - Foto AP

Gelombang baharu serangan Russia sasar grid tenaga Ukraine

KYIV: Serangan baharu Russia menyasarkan bandar utama di seluruh Ukraine semalam dalam gelombang baharu bagi melumpuhkan infrastruktur tenaga negara itu menjelang musim sejuk.

Serangan bertubi-tubi itu mengganggu bekalan elektrik dan air kepada jutaan warga Ukraine, namun Kremlin menyalahkan penderitaan orang awam itu terhadap keengganan Kyiv untuk berunding dan bukannya serangan Russia.

Serangan terbaru itu seiring dengan bermulanya musim salji, selepas pegawai di Kyiv memberi amaran mengenai 'kesukaran' dalam beberapa hari akan datang.

Pentadbiran wilayah ibu negara itu berkata, empat peluru berpandu dan lima dron Shahed ditembak jatuh di Kyiv, merujuk kepada dron buatan Iran yang dikerahkan Moscow dalam serangan besar-besaran terhadap sasaran di Ukraine.

Papan tanda amaran mengenai jerangkap samar di pinggir hutan berhampiran perkampungan Tsyrkuny di Kharkiv, Ukraine. - Foto EPA
Papan tanda amaran mengenai jerangkap samar di pinggir hutan berhampiran perkampungan Tsyrkuny di Kharkiv, Ukraine. - Foto EPA

Serangan juga dilakukan ketika Moscow dan Kyiv mengesahkan lanjutan perjanjian membenarkan Ukraine mengeksport bijirin melalui Laut Hitam yang bertujuan membantu mengurangkan tekanan ke atas bekalan makanan global.

Ukraine berdepan beberapa siri serangan terhadap grid kuasanya berikutan kemenangan di medan perang menentang Russia, di mana yang terbaru adalah pengunduran Moscow dari Kherson.

Ombudsman Ukrain, Dmytro Lubynets, menyifatkan skala penyeksaan yang ditemui di Kherson sebagai 'mengerikan'.

Sejak pengunduran Russia minggu lalu selepas pencerobohan selama lapan bulan, bukti mengerikan mula muncul.

Lubynets berkata pihak berkuasa menemui 'bilik penyeksaan' di mana puluhan orang didera dan dibunuh.

Semalam, penduduk Kherson berpusu-pusu menyimpan bantuan makanan, selimut, lampin dan pakaian musim sejuk.

Kawasan dapur terbuka milik penduduk tempatan ditimpa salji di perkampungan Chekassky Tyshky di Kharkiv, Ukraine, yang dirampas semula daripada tentera Russia. - Foto EPA
Kawasan dapur terbuka milik penduduk tempatan ditimpa salji di perkampungan Chekassky Tyshky di Kharkiv, Ukraine, yang dirampas semula daripada tentera Russia. - Foto EPA

Orang ramai dilihat saling tolak-menolak dan menjerit ketika sukarelawan membaling bekalan kepada orang ramai yang menunggu berjam-jam ditimpa hujan dalam cuaca menghampiri paras beku.

Ketika Russia meneruskan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine, ketua wilayah tengah Dnipropetrovsk, Valentyn Reznichenko, berkata serangan kini menumpukan pusat pentadbiran Dnipro.

"Sebuah perusahaan perindustrian turut terjejas. Kebakaran besar berlaku," katanya yang kemudian mengumumkan 23 orang cedera termasuk seorang gadis berusia 15 tahun.

Di wilayah Odessa selatan, serangan Russia menyasarkan infrastruktur dan gabenor memberi amaran kepada penduduk mengenai ancaman serangan peluru berpandu 'besar-besaran' dan menggesa mereka mencari perlindungan.

Wilayah timur Kharkiv turut diserang, umum Gabenor Oleg Synegubov, sambil menambah bahawa Russia membedil 'infrastruktur kritikal' dalam serangan yang mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang. - AFP

Berita Harian X