Ahad, 13 November 2022 | 2:59pm
Seorang wanita memeluk anggota tentera Ukraine bagi meraikan kejayaan mengusir tentera Russia dari Kherson. - Foto AP
Seorang wanita memeluk anggota tentera Ukraine bagi meraikan kejayaan mengusir tentera Russia dari Kherson. - Foto AP

Tentera Russia didakwa musnah kemudahan kritikal di bandar Kherson

KIEV: Tentera Russia didakwa memusnahkan beberapa kemudahan dan infrastruktur kritikal di bandar Kherson sebelum berundur dari wilayah itu, dakwa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan sedang menstabilkan bandar terbabit.

"Sebelum berundur dari Kherson, tentera Russia memusnahkan semua infrastruktur kritikal termasuk kemudahan komunikasi, bekalan air, haba, elektrik," katanya menerusi ucapan video, semalam.

Katanya, tentera Ukraine berjaya menguasai lebih 60 penempatan di wilayah Kherson.

"Polis kini sudah memulakan langkah penstabilan. Langkah penstabilan juga sedang dijalankan di Kherson," katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan pengunduran tenteranya dari Kherson ke tebing barat Sungai Dnipro.

Ia satu tindakan yang memberi tamparan hebat terhadap kempennya ketika serangan balas Ukraine.

"Mula keluarkan tentera," kata Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu pada pertemuan dengan komander Russia di Ukraine, Sergei Surovikin yang disiarkan di televisyen.

Komander mengusulkan 'keputusan sukar' untuk berundur dari bandar dan menubuhkan pertahanan di tebing timur Sungai Dnipro.

Bandar Kherson adalah hab bandar pertama yang ditawan oleh Russia ketika 'operasi ketenteraan khas' dan satu-satunya ibu kota wilayah yang dikawal oleh tentera Moscow sejak serangan bermula pada 24 Februari lalu. - AGENSI

Berita Harian X